Terjemahan Ketua Kumpulan Ayah Pin Ariffin Mohammad tidak meninggalkan negara ini walaupun beberapa pengikutnya ditahan di perkampungan kumpulan tersebut Sabtu lalu.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen, , Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar (foto) berkata, Ayah Pin masih berada di dalam negeri dan pihak berkuasa mengetahui di mana dia berada.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjelaskan mengapa 'pihak berkuasa' belum mengambil tindakan walaupun tahu tempat Ayah Pin berada.

Seramai 21 pengikut Ayah Pin 14 lelaki dan tujuh wanita berumur antara 30 dan 60 tahun ditahan petang Sabtu lalu di perkampungan mereka di Terengganu.

Ayah Pin (foto), 65, tidak ditemui di perkampungan itu tetapi seorang wanita yang dipercayai isteri keempatnya, seorang pegawai polis dan seorang anggota kumpulan Rock adalah antara mereka yang ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Teranggganu. Anggota polis turut bersama dalam serbuan tersebut.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikatjamin RM1,000 setiap seorang dan akan didakwa di Mahkamah Syariah Besut pada 23 September depan.

Empat daripada mereka dikatakan memiliki dokumen-dokumen yang bercanggah dengan ajaran Islam, manakala 17 lagi didakwa enggan mematuhi fatwa bahawa ianya adalah kumpulan ajaran songsang.

"Kami telah lama mengawasi kumpulan ini serta aktivitinya dan akan terus berbuat demikian," kata Noh sambil menambah tiada tahanan baru dibuat.

Beliau menggesa pihak berkuasa negeri supaya mendakwa pengikut kumpulan tersebut, kerana mereka belum lagi 'bertaubat' walaupun sudah banyak kali diberi nasihat dan kaunseling.

Katanya, ia kini telah sampai ke peringkat di mana pihak berkuasa perlu mendakwa mereka.

Fatwa pada 1997

Menurut Noh, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa pada 4 Disember 1997, mengisytiharkan kumpulan tersebut mengamalkan ajaran songsang kerana menghina ajaran Islam.

Menjawab soalan, Noh berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan pencegahan, tidak akan digunakan terhadap kumpulan tersebut kerana undang-undang Islam yang ada sudah mencukupi untuk menangani pergerakan tersebut.

Mengenai pegawai polis yang ditahan semalam, Noh berkata, polis akan menyiasatnya dan mengambil bertindak sewajarnya.

Mengikut Akta Jenayah Syarikah 2001, mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM3,000 dan/atau dipenjara sehingga dua tahun.

Sebelum ini, empat anggota kumpulan tersebut dihukum penjara selama dua tahun tahun 1998 kerana mengisytiharkan keluar daripada Islam.