Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib: Sikap tak patriotik sebabkan M'sia hampir terlepas pelaburan Saudi Aramco
Diterbitkan:  Mar 18, 2017 12:37 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Malaysia hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco kerana sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang menyalurkan maklumat tidak betul mengenai negara kepada syarikat minyak Arab Saudi itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Saudi Aramco pada mulanya keberatan untuk melabur di Malaysia setelah diberi maklumat kononnya Malaysia diletakkan dalam kategori berisiko politik.

Katanya Saudi Aramco diberikan maklumat kononnya Malaysia tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bangkrap dan kerajaan tidak berkemampuan untuk membayar gaji penjawat awam.

"Ini kerana ada orang yang tiada hati perut, motif mereka adalah politik tetapi yang jadi mangsa adalah rakyat Malaysia," katanya ketika melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya hari ini.

Beliau berkata hanya apabila diberikan maklumat sahih bahawa Malaysia adalah negara yang berjaya dan mendapat penarafan A, kepercayaan Saudi Aramco terhadap Malaysia dikembalikan dan Malaysia mendapat pelaburan RM31 bilion.

Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah turut serta menteri-menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Program Ekspresi Negaraku menjadi platform pertama untuk memacu inisiatif 'Negaraku' yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi rasa cinta negara dalam setiap jiwa Malaysia.

Najib dalam catatan blog beliau sebelum ini berkata inisiatif 'Negaraku' bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat, mengetepikan sebarang perbezaan serta bersatu hati dalam menjayakan cita-cita bagi membentuk Malaysia yang lebih makmur dan berjaya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS