K’jaan Kelantan akui silap di Lembah Sireh
Tidak ada pihak yang mendapat keuntungan daripada projek pembangunan Lembah Sireh, kataTimbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Bercakap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan hari ini, beliau memaklumkan projek tersebut belum lagi dapat diselesaikan sepenuhnya berikutan bebanan hutang yang terpaksa ditanggung oleh pihak pemaju.
"Masalah keuntungan ini, setakat yang saya tahu syarikat ini tak ada untung lagi.
“Sebab projek ini belum selesai lagi, bahkan yang kita tahu syarikat ini menanggung bebanan hutang yang berat untuk membangunkan Lembah Sireh," kata Mohd Amar ketika menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).
Pada sidang dewan hari ini, Md Alwi meminta kerajaan negeri memberi penjelasan lanjut mengenai kegagalan menyerahkan tanah seluas 400 hektar seperti perjanjian awal dengan syarikat berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Amar menasihatkan pemimpin Umno itu agar tidak menyindir kerajaan negeri Kelantan berikutan kegagalan projek pembangunan Lembah Sireh.
Beliau juga mengakui berlaku kesilapan dalam perjanjian dengan sebuah syarikat pemaju itu.
"Sebenarnya secara teknikalnya ada kesilapan di pihak kerajaan dan juga ada kesilapan di pihak pemaju. Itu asasnya, tak boleh nak salahkan siapa dan benda ini dah lepas dan dah selesai dah.
"Jadi, untuk membetulkan keadaan itulah hasilnya keluar dengan persetujuan yang baru.
"Saya nasihatkan YB tak payah nak sindir-sindir ada orang dapat dengan tak dapat (keuntungan). Yang pentingnya adalah untuk rakyat negeri Kelantan," kata Mohd Amar.
Kesilapan teknikal itu dikatakan hingga menyebabkan tujuh janji bagi membangunkan Lembah Sireh seperti mini stadium, stadium wanita dan jambatan tidak dapat dilaksanakan.

