Abim gesa AS hormati kedaulatan kjaan Iran
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Amerika Syarikat supaya menghormati kedaulatan kerajaan Iran yang dipilih menerusi proses demokrasi.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Amerika Syarikat supaya menghormati kedaulatan kerajaan Iran yang dipilih menerusi proses demokrasi.
Kemenangan Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihanraya presiden baru-baru ini perlu dihormati kerana beliau mendapat mandat rakyat Iran menerusi proses demokrasi yang telus, kata Setiausaha Agung Abim, Azizuddin Ahmad.
Malah, katanya, kerajaan Amerika sendiri mengiktiraf pilihanraya itu.
"Melahirkan keraguan mengenai latar belakang presiden yang baru dilantik adalah tidak wajar. Penglibatan Mahmoud dalam revolusi Iran patut dilihat sebagai usaha menentang pemerintahan kuku besi rejim autokratik yang menindas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepatutnya, kata Azizuddin, kerajaan Amerika menyokong perubahan rejim itu pada 1979 dan membenarkan presiden yang baru dilantik itu melaksanakan mandat sebagai pemimpin.
Menurutnya, penglibatan Mahmoud dalam revolusi Iran pada 1979 adalah kecil berbanding kegagalan Ariel Sharon sebagai Menteri Pertahanan Israel menyekat pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di Sabra dan Shatila pada 1980.
"Oleh itu, kerajaan Amerika perlu diingatkan tentang pentingnya episod sejarah ini," katanya.

