BERITA Malaysiakini

Pengasas Pewaris Malaysia didakwa sebabkan kematian

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengasas Pertubuhan Warisan Ketuanan Malaysia (Pewaris Malaysia) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kajang atas tiga pertuduhan iaitu menyebabkan kematian pengikutnya, memiliki sepucuk pistol dan sebutir peluru hidup tanpa lesen, dua minggu lepas.

Tertuduh, Datuk Seri Jaafar Shaari, 54, yang tampil memakai baju penjara berwarna ungu, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Bagi pertuduhan pertama, Jaafar didakwa menyebabkan kematian Sahdan Ishak, 39, di sebuah rumah di Jalan Suakasih 2/2, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras, dekat Kajang, antara pukul 2.30 pagi dan 10.40 pagi, 10 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki sepucuk pistol jenis Revolver bernombor Siri 72664 tanpa lesen yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan juga sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Jaafar didakwa memiliki sebutir peluru hidup tertulis S&B7.56 Br tanpa lesen yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, memperuntukkan penjara tujuh tahun dan juga denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan. Tertuduh diwakili peguam Adnan Ismail.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh merupakan seorang daripada 13 individu termasuk dua wanita yang ditahan susulan kes seorang lelaki ditemui mati dengan sedas tembakan di dahi di rumah berkenaan pada awal pagi 10 Mac lepas.

Pada 20 Mac 2013, Jaafar dan anak lelakinya, Ahmad Jiwari dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada tuduhan menyebabkan kematian seorang peniaga air.

Dua anak beranak itu didakwa bersama-sama atas tuduhan bergaduh sehingga menyebabkan kematian Azahari Sideki, 45, di Downtown The Mines, Seri Kembangan, Kuala Lumpur, antara pukul 3.40 pagi dan 5.30 pagi 13 Ogos 2012.

Hakim Rozina Ayub memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Katanya, berdasarkan hasil bedah siasat, pakar forensik telah mengesahkan kematian Azahari itu disebabkan serangan sakit jantung akibat masalah arteri koronari mangsa yang tersumbat.

- Bernama