Tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu menamatkan khidmat ramai bilal masjid di negeri itu yang dilantik sewaktu pemerintah PAS, disifatkan oleh parti itu sebagai satu tindakan yang tidak bertamadun.

Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Yahaya Ali mendakwa, tindakan tersebut juga merupakan proses balas dendam yang berterusan terhadap PAS selepas BN memenangi pilihanraya umum lalu.

"Ini tindakan orang gila kuasa dan tidak berhati perut. Tindakan ini tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun," katanya sebagai mengulas tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menamatkan perkhidmatan ramai imam masjid di negeri itu, mulai 1 Jun lalu.

Surat JHEAT yang ditandatangani Pesuruhjayanya Shaikh Harun Ismail bertarikh 23 Jun itu, yang memaklumkan bahawa perkhidmatan mereka ditamatkan berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Surat itu juga menyatakan bahawa mengikut Seksyen 86(1) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama (Islam) Terengganu 1422H/2001M, perlantikan pegawai masjid boleh ditamatkan melalui notis bertulis daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Shaikh Harun memaklumkan dalam surat tersebut bahawa pihak Maidam telah bersetuju untuk menamatkan perkhidmatan bilal-bilal berkenaan berkuatkuasa mulai 1 Jun lalu.

Perkenan Sultan

Menurut Yahaya, semasa memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 PAS tidak pernah memecat imam dan bilal yang dilantik oleh BN meskipun mereka tidak menyokong parti tersebut.

Beliau juga menyangkal dakwaan sesetengah pemimpin BN bahawa PAS melantik imam dan bilal atas kepentingan politik parti pembangkang itu.

"Perlantikan imam adalah urusan kerajaan negeri tetapi perlu mendapat perkenaan Sultan sebagai ketua agama. PAS tidak melantik mereka semata-mata kami menjadi pemerintah ketika itu," katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya setiap imam dan bilal perlu melalui proses temuduga yang ketat, termasuk mendapat persetujuan penduduk setempat sebelum mereka dilantik oleh JHEAT.

Yahaya berkata, pihaknya menjangka BN negeri akan terus memecat lebih ramai imam dan bilal, terutama yang dilantik semasa pemerintahan PAS dan melantik penyokong parti itu mengisi kekosongan tersebut.