Tuduhan perkauman: Nazri mengakui sasarannya Sothinathan dan Kula Segaran
Terjemahan Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menjeritkan tidak kurang daripada 41 kali perkataan 'perkauman' sewaktu perdebatan hangat di Dewan Rakyat bulan lalu, sasarannya ialah dua ahli dewan berkenaan.
Terjemahan Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menjeritkan tidak kurang daripada 41 kali perkataan 'perkauman' sewaktu perdebatan hangat di Dewan Rakyat bulan lalu, sasarannya ialah dua ahli dewan berkenaan.
Semalam, beliau mengesah bahawa sasarannya pada 21 Jun lalu bukan setakat Ahli Parlimen pembangkang M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) tetapi juga penyokong kerajaan yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk S Sothinathan.
Pada hari berikutnya, Sothinathan telah digantung daripada jawatan timbalan menteri selama tiga bulan kerana melanggar disiplin Barisan Nasional(BN) kerana bertengkar dengan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berhubung keputusan menarik balik pengiktirafan terhadap Universiti Perubatan Crimean (CSMU).
"(Dakwaan 'perkauman') disasarkan kepada beliau (Sothinathan) juga, untuk memberitahunya bahawa tidak ada keputusan yang dibuat oleh Barisan Nasional atas asas perkauman. Itulah sebabnya beliau selepas itu dikenakan tindakan disiplin," katanya kepada malaysiakini di lobi Parlimen semalam.
"Kami tidak bertindak atas (asas) perkauman dan saya amat membantah (dakwaan tersebut). Saya tidak suka perkauman...kita semua rakyat Malaysia, jadi jangan sekali-kali mengatakan kita membuat keputusan kerana kita membenci etnik tertentu. Itu tidak wajar sama sekali," katanya.
Sothinathan tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut.
Sebilangan ahli Parlimen mengesyaki bahawa kata-kata Nazri tidak setakat ditujukan kepada Kula Segaran seorang sahaja, tetapi juga terhadap Sothinathan.
Bincang isu CSMU
Ketika kejadian di Dewan Rakyat itu, Mohd Nazri yang naik darah, menjerit perkataan 'perkauman' sebanyak 41 kali terhadap Kula Segaran dalam bahasa Melayu dan Inggeris pada penghujung perdebatan berhubung usul tergempar pihak pembangkang untuk membincangkan isu penarikan balik pengiktirafan terhadap CSMU.
Keputusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk menarik balik pengiktirafan tersebut telah menjejaskan kira-kira 1,400 pelajar Malaysia di CSMU, yang majoritinya kaum India.
Pada satu ketika, menteri itu menjerit "perkauman, perkauman, perkauman...kamu bersifat perkauman...tiada tempat bagi kamu di negara ini' kata sambil menuding jari ke arah Kula Segaran. Dewan menjadi kecoh ketika pertengkaran itu berlaku.
Kula Segaran telah memanaskan suasana tersebut apabila dia memetik kata-kata Tan Sri Musa Mohamad, Menteri Pelajaran sebelum ini, ketika melawat ke CSMU, yang didakwanya telah mengeluarkan kata-kata: "Bagaimana (boleh) jadi begini? Mengapa ramai sekali (pelajar) India di universiti ini?"
Mohd Nazri tidak terus bangun membantah kata-kata Kula Segaran itu, tetapi menyerangnya hanya selepas Abdul Latiff bertegang urat dengan Sothinathan.
Sothinathan telah bertanya mengapa hanya kaum sahaja yang dibabitkan apabila masalah penarikan balik pengiktirafan tersebut turut melibatkan pelajar perubatan pelbagai kaum dari Malaysia.
Mohd Nazri, yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal Parlimen, terus melaporkan pertengkaran antara Sothinathan dengan Abdul Latiff kepada Timbalan Perdana Menteri dan juga Ketua Whip BN, Datuk Seri Najib Tun Razak. Rakaman video kejadian tersebut juga dikemukakan kepada Najib untuk membantunya membuat keputusan.
Dituntut minta maaf
Menjelaskan perkara itu semalam, Mohd Nazri berkata beliau tidak terus membantah kenyataan Kula Segaran itu kerana beliau perlu menunggu sehinggalah diminta membaca satu usul bagi pihak Jabatan Perdana Menteri.
"Saya mengambil kesempatan itu untuk bercakap," katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak berganjak daripada kata-kata 'perkauman' itu.
"Ia tidak menjadi hal kerana (Kula Segaran) yang menyebut perkataan 'perkauman' terlebih dahulu," tambahnya.
Kula Segaran sebelum ini memberitahu malaysiakini bahawa perkataan 'perkauman' tidak wajar disebut di Parlimen dan telah menuntut Mohd Nazri memohon maaf.
Beliau juga berpendapat bahawa tindakan (Mohd Nazri) menyebut perkataan itu berulang-ulang adalah bertujuan untuk mengalih perhatian daripada pertengkaran yang membuatkan dua penyokong kerajaan itu.
Menurutnya lagi, Mohd Nazri kemudiannya memeluknya di luar bilik rehat, sambil berkata setiap mereka mempunyai tugas untuk dilakukan.

