PAS meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya segera menyiasat ketidaktelusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam pemberian AP (permit import).

Setiausaha Agungnya Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu pemberita juga di lobi Parlimen bahawa masalah pemberian AP yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, terutama mengenai prosedur pengeluarannya, perlu diberi perhatian.

"AP import kereta harus dilakukan dengan cara terbuka melalui `public auction' supaya semua syarikat yang menawarkan harga tertinggi berhak mendapat AP dan pendapatan negara juga akan meningkat," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau juga mahu kerajaan mengumumkan senarai pemegang AP agar orang ramai dapat menilai sendiri isu pemberian AP itu.

Manakala Pengerusi DAP dan ketua pembangkang Lim Kit Siang pula berkata beliau telah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membawa usul Proton itu dalam sidang dewan esok.

Jumpa Dr Mahathir

Sementara itu, Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BBC) berharap isu mengenai hala tuju dasar automotif negara serta pertikaian membabitkan Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) diselesaikan segera.

Malah, kata pengerusinya Datuk Shahrir Abdul Samad, BBC telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja berhubung perkara itu dan menemui pihak yang terbabit untuk mendapat penjelasan termasuk daripada Dr Mahathir.

"Minggu lalu kita sudah bertemu dengan syarikat vendor Proton dan Perodua. Minggu ini, kita akan berbincang dengan Proton sendiri bagi mendapatkan input-input dan sedang berusaha menetapkan tarikh untuk berjumpa dengan Dr Mahathir," katanya ketika di lobi Parlimen hari

ini.

Dr Mahathir, yang juga penasihat Proton, dilaporkan berkata bahawa pengeluaran AP secara tidak terkawal telah menjejaskan industri automotif tempatan.