Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Abdullah sambut baik Annuar Musa tarik diri
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 10:05 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyambut baik tindakan Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada bertanding pemilihan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Titahnya tindakan Annuar yang memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui FAM dilihat dapat memudahkan lagi usaha memajukan bola sepak negara pada masa depan.

"Baguslah... itu lebih senang, tak payah bertanding-tanding lagi. Harapan saya agar mutu bola sepak dapat ditingkatkan secara keseluruhan dan semua yang terlibat akan membantu," titahnya.

Tengku Abdullah yang juga bekas presiden FAM bertitah demikian selepas mencemar duli merasmikan penutup Kejohanan Tomoi Pantai Timur Piala Tengku Mahkota Pahang di Bukit Goh, di Kuantan malam tadi.

Annuar yang juga penasihat Bola Sepak Kelantan mengumumkan penarikan diri daripada pemilihan presiden FAM pada Khamis lepas dan menegaskan keputusannya itu diambil tanpa desakan sesiapa.

Annuar dilapor berkata pendekatan itu juga mampu mengelakkan berlakunya sebarang pertelingkahan dalam keluarga besar bola negara.

Penarikan diri Annuar secara langsung menjadikan Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul satu-satunya calon bagi jawatan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS