Seorang pemimpin pelajar Universiti Malaya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) petang semalam, menjadikan jumlah dua orang setakat ini ditahan dalam operasi terbaru sejak Khamis.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUM), Mohamad Fuad Mohd Ikhwan ditahan polis di bawah seksyen 73 (1) di depan sebuah bengkel di Jalan Sentul, Kuala Lumpur jam 4.05 petang.

Pegawai di ibu pejabat polis Bukit Aman, Supt Benjamin Hasbie mengesahkan hal ini tengahari ini. Menurutnya, Mohamad Fuad, 22, ditahan atas kesalahan menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.

Kenderaan itu kini dipercayai berada di balai polis Travers dan kuncinya berada di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Menurut maklumat awal Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang dikeluarkan menjelang tengah malam tadi, seorang pegawai polis di Bukit Aman telah memaklumkan tangkapan itu kepada seorang anggota keluarga Mohamad Fuad kira-kira 5.45 petang.

Dua hari lalu, pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ditahan di bawah akta yang sama ketika beliau sedang mengiringi enam aktivis pelajar ke balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Beliau disahkan ditahan pada jam 11.30 pagi selepas polis menggeledah, bersamanya, biliknya di Bangsar, Kuala Lumpur. Polis merampas bahan-bahan bercetak, komputer dan video cakera padat (VCD) reformasi.

Malaysiakini difahamkan polis masih mencari beberapa lagi aktivis pelajar untuk tahanan di bawah akta yang sama selepas membuat beberapa serbuan di rumah-rumah pelajar di Bangi dan Kelana Jaya, kedua-duanya di Selangor, sejak Rabu lalu.

April lalu, polis menahan 10 aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional di bawah akta itu. Empat dibebaskan bulan lalu, sementara enam ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak mulai 2 Jun.