Kabinet arah Rafidah jawab pada Dr Mahathir
Kabinet telah mengarahkan Datuk Seri Rafidah Aziz menulis surat kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh penasihat Proton itu, berkaitan dengan dasar automotif kerajaan.
Kabinet telah mengarahkan Datuk Seri Rafidah Aziz menulis surat kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh penasihat Proton itu, berkaitan dengan dasar automotif kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu pemberita di Kuala Lumpur hari ini bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu "perlu mejawab kerana isu-isu itu adalah berkenaan kementerian beliau."
Arahan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir ialah tumpuan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada segelintir syarikat, dasar auto kerajaan dan juga kemasukan kereta asing pada harga yang amat rendah yang mengurangkan daya saing kereta nasional.
Dr Mahathir telah menyatakan demikian pada satu sidang akhbar Selasa lalu di mana beliau mempertahankan cetusan dan kritikan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff mengenai dasar auto kerajaan dalam satu wawancaranya dengan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily.
Menjawab soalan-soalan daripada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan mengenai Pengurusan Pengetahuan, Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata keputusan kerajaan tidak mendedahkan nama-nama pemegang AP kekal tidak berubah.
Dr Mahathir di dalam ulasan-ulasan sebelum ini telah meminta senarai penerima AP diumumkan. Apabila ditemui semalam di luar pejabat beliau, Rafidah enggan mengulas.
Sedia laporan
Mengenai sama ada Kabinet telah meminta Rafidah menjelaskan bagaimana hanya 20 syarikat dikeluarkan 54,000 AP, Abdullah berkata: "dia telah ditanya banyak perkara. Dia akan menyedia dan membekalkan maklumat untuk Kabinet."
Dr Mahathir telah mendakwa, daripada 67,000 AP yang dikeluarkan tahun lalu, hanya 12,600 diberikan kepada 82 syarikat manakala sebahagian besarnya sebanyak 54,000 AP diberikan kepada 20 syarikat.
Menjawab soalan-soalan seterusnya, Abdullah juga berkata kereta nasional "Proton adalah kereta kita, kita mahu berjaya. Ya, kita telah melindungi Proton (tetapi) sementara kita mengurangkan perlindungan secara beransur-ansur, Proton mestilah mengembangkan dayasaingnya."
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata Kabinet belum lagi membuat keputusannya mengenai dasar auto negara kerana ia perlu kajian selanjutnya mengenai perkara itu.
"Keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat Kabinet pada masa akan datang," kata Abdullah, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai dasar itu yang dikemukakan kepada Kabinet semalam.
Selepas menunda pengumuman dasar baru auto negara Jun lalu, Rafidah berkata dasar auto itu berkemungkinan diumumkan pada September oleh Menteri Kewangan.

