Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hapus subsidi punca inflasi meningkat - Rafizi
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 6:55 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, kenaikan kadar inflasi yang mencecah 4.5 peratus bulan lalu disebabkan kenaikan kos pengangkutan, makanan dan perumahan yang mempunyai kaitan dengan penghapusan subsidi oleh kerajaan.

Menurutnya, ketiga-tiga kumpulan perbelanjaan itu merupakan perbelanjaan utama ditanggung rakyat kebanyakan yang berpendapatan rendah.

"Oleh yang demikian, kenaikan harga barang yang telah mencecah kadar seolah-olah ekonomi negara sedang gawat membawa kesan yang paling buruk kepada golongan berpendapatan rendah.

"Apatah lagi apabila kenaikan  dalam kumpulan perbelanjaan rakyat terbanyak ini disebabkan oleh dasar kerajaan sendiri yang menghapuskan subsidi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan bahawa inflasi tahunan yang melebihi 4.5 peratus hanya berlaku dua kali dalam tempoh hampir 20 tahun iaitu semasa krisis kewangan Asia 1998 dan krisis pasaran kredit di Amerika Syarikat pada 2008.

Berikutan kebimbangan tersebut, Rafizi berkata beliau akan berkempen untuk mengembalikan subsidi dalam bentuk yang tidak ada ketirisan dan menepati sasaran.

"Ia sebagai langkah yang lebih berkesan menangani kenaikan harga barang yang kini telah mencapai tahap gawat walaupun petanda ekonomi lain sering diuar-uarkan kononnya ekonomi berkembang baik," katanya.

Semalam, Indeks harga pengguna Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari iaitu 4.5 peratus.

Bagaimanapun, laporan Reuters menyebut lonjakan tersebut tidak mungkin menjurus kepada sebarang perubahan dalam dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia.

Kadar inflasi tahunan pada bulan lepas juga adalah yang tertinggi sejak November 2008.

Lihat Komen
ADS