Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Dulu tak ramai yang berjanggut dan berjubah, tapi tak ada pun yang mendakwa kurang Islamik. Tak ramai yang simpan janggut dan sapu minyak atar, tak timbul pun isu kurang beragama.

Wanita pun tak ramai bertudung tapi masih handal membaca al-Quran seperti Faridah Mat Saman dan Rogayah Sulong yang berulang kali memenangi tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dulu anak muda ramai yang berkeliaran. Ada yang cenderung kepada budaya hippie pada akhir dekad 1960-an. Ada slogan Peace Not War yang membantah Perang Vietnam. Ada juga pop yeh yeh.

Sebelum itu mereka terpengaruh dengan filem P Ramlee dengan sebahagian pelakon wanitanya berkebaya ketat dan tak bertudung. Tak ada pun timbul cerita siku dan lutut.

Tak ada pun cakap tentang politik matang dan tahaluf siyasi.

Dulu walaupun ada masalah sosial, ahli masyarakat berbincang dan cuba selesai masalah. Mereka tak berusaha merenggangkan hubungan apatah lagi kafir-mengkafir sesama Islam.

Tak ada pun isu "amanat tuan presideng" sehingga terjadinya solat dua imam.

Kaum Cina sudah lama menetap di negara ini. Sebelum sejarah Hang Li Po dan Yap Ah Loy, pedagang Cina antara yang awal datang ke Semenanjung Tanah Melayu bersama pedagang Arab dan India Muslim. Tak timbul pun cerita kafir harbi dan kafir zimmi.

Masyarakat Melayu menerima mereka. Semua pihak bersatu hati dan saling menghormati.

Teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara dan Malaysia pun turut dikaitkan dengan pedagang Cina selain bangsa Arab dan India.

Teori ini dipertahan sehingga kini. Tak timbul pun soal kafir mengkafir. Tak ada pun fatwa haram sembelihan mana-mana pihak.

Saya lahir dan membesar di Kampung Batu Lapan, Nilam Puri, tidak jauh dari Kota Bharu. Nilam Puri sebuah pekan kecil namun terkenal sejak 1950-an kerana ada pusat pengajian Islam.

Pelbagai bangsa datang mengaji al-Quran dan menadah kitab. Tak timbul pun apa-apa masalah.

Memimpin dengan berhemah

Banyak juga pondok agama. Anak muda pelbagai bangsa datang tadah kitab. Ada yang bersongkok, ada berserban dan berkopiah. Tak timbul pula perbezaan pendapat tentang hukum songkok dan kopiah.

Ada yang bawa ubat gigi Colgate. Ada yang bersugi. Ada juga yang gosok gigi guna serbuk arang kayu. Tak timbul pun soal halal dan haram.

Ketika itu mereka yang belajar agama memasang niat untuk menjadi pendakwah, bukan pendakyah.

Mereka tadah kitab akhirnya sambung belajar ke al-Azhar, Jordan atau India. Tak timbul pun agama untuk buat baiah sehingga cerai talak tiga apabila keluar dari sesuatu jemaah.

Nilam Puri terkenal sebagai kawasan pendidikan agama. Justeru, agama menjadi medan fahaman berpolitik keagamaan. Pelbagai pandangan tentang tauhid dan akidah dibincang dan diperdebat secara adik beradik. Tak timbul pun pergolakan.

Pusat belajar agama itu kini dikenali Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang dianggap wadah terbaik untuk belajar syariah di Malaysia. Nilam Puri juga terkenal kerana kawasan parlimen ini diwakili oleh Tan Sri Asri Muda, Presiden PAS pada 1969 hingga 1982.

Asri juga Menteri Besar Kelantan dan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Beliau juga Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah ketika PAS menyertai BN pada 1974 hingga 1978.

Asri memimpin PAS dengan berhemah. Tidak menjadikan agama sebagai medan untuk mengkafirkan orang lain. Asri juga sasterawan dan pemidato yang hebat.

Bagi generasi sezaman saya, pidato Asri lebih hebat daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kepetahan berhujah boleh mendorong pendengar berhujan dan berpanas mendengar ucapan pemimpin PAS ini sehingga larut malam.

Asri banyak menyelar kelemahan kerajaan Perikatan ketika itu. Namun beliau tetap pemikir ulung yang tidak menjadikan isu kepartian sebagai medan untuk menjarakkan hubungan dalam masyarakat. Nama Nilam Puri dikenali kerana Asri.

Dulu masyarakat berpolitik kerana kesedaran untuk agama dan bangsa. PAS untuk agama. Umno untuk bangsa. Dalam masyarakat Melayu, agama dan bangsa tetap dianggap satu. Tiada alasan untuk PAS atau Umno bertelagah.

Islam sebagai alat

Hanya apabila timbul generasi baru yang pulang dari Asia Barat, pemikiran politik di kampung berubah. Yang pandai cakap Arab dan lebai Melayu dari Mesir sudah membawa bacaan baru dalam politik Malaysia.

Mereka lebih berpendidikan formal. Mengkaji hadis dan sunnah. Bertajwid. Namun jumud. Di sinilah punca perubahan sikap di luar bandar apabila sebahagian besar penduduk yang belum terdedah rasa lebih terhormat apabila menerima 'didikan' daripada lebai yang baru pulang dari Timur Tengah.

Isu kafir-mengkafir dalam masyarakat bukan lahir secara spontan. Ia manifestasi sikap dan cara berfikir yang sempit. Ia fenomena dibawa untuk menguasai politik di luar bandar. Pengaruh mereka menjadikan Islam sebagai alat untuk menguasai dan berkuasa.

Tidak salah membawa ajaran supaya wanita bertudung dan lelaki berjanggut serta berjubah. Yang salah apabila agama menjadi senjata untuk 'menembak' dan menghukum.

Mereka mengambil kesempatan hasil kejayaan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 untuk membentuk generasi muda berakhlak mulia dan berhemah.

Perjuangan Abim untuk mengekang budaya kuning yang dibawa golongan hippie ketika era Perang Dingin. Abim mengambil pendekatan dakwah dan mendidik. Secara halus anasir jumud menyerap masuk ke Abim dan cuba mempengaruhi Anwar supaya terikat dengan pendekatan ekstrem mereka.

Anwar bukan pengasas Abim. Tapi pada zaman Anwar, Abim dilihat lebih berwibawa dan dikenali ke peringkat antarabangsa. Ajaran Islam progresif menjadikan Abim dihormati dan masyarakat juga menerima Islam sebagai agama tarbiah.

Politik kita juga menerima tempias daripada Revolusi Islam Iran pimpinan Ayatullah Khomeini pada 1978. Revolusinya berjaya menjatuhkan diktator monarki Shah Mohammad Reza Pahlavi.

Iran bukan sekadar kehilangan kuasa dinasti, bahkan tidak lagi menjadi tunggangan AS dan Nato dalam percaturan Perang Dingin di antara Washington dan Moscow.

Lebai meresap halus

Asia Tenggara ketika itu amat panas dengan suasana politik yang tidak menentu. Teori Domino dikaitkan dengan kejatuhan kerajaan demokrasi kepada kuasa komunis dan sosialis.

Dekad 1970-an adalah era komunisme di kebanyakan negara. Vietnam Utara dan Vietnam Selatan bersatu di bawah panji komunis. Kemboja dan Laos juga dikuasai komunis. Malaysia dan Indonesia - walaupun terselamat daripada Teori Domino - tetap berdepan dengan ancaman Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Indonesia.

Gerakan Islam diharapkan menjadi benteng untuk menyekat kekuasaan komunis. Agama adalah ad-din, amalan dan benteng kekuaan ummah.

Gerakan pelajar di beberapa pusat pengajian tinggi pada 1974 dibimbangi dikuasai komunis walaupun Anwar berkali-kali bersuara bahawa mereka membawa isu rakyat. Mereka siswa Islam yang bergerak dari kampus kepada masyarakat.

Generasi muda di luar kampus melihat Abim sebagai medan untuk mempertahankan jati diri. Malangnya secara halus lebai yang baru pulang dari Asia Barat mula meresap masuk ke Abim.

Gerakan kesederhanaan Abim cuba dicabul oleh golongan fanatik yang bertopengkan perjuangan Syiah di Iran. Ramai ahli PAS terpengaruh dengan Revolusi Iran ketika itu. Mereka lebih cenderung menghukum daripada membijaksana.

Keadaan ini memberi kesan kepada parti itu sendiri, dan akhirnya bukan sahaja ahli Umno disebut kurang Islamik, bahkan Asri sendiri pun diragui keimananya.

Kesilapan Asri ialah kerana tidak berkopiah dan berjubah. Asri dianggap sekular kerana pakai baju kot, bersongkok dan mempelajari falsafah Barat dalam kehidupannya. Imej agama Asri dipertikai oleh golongan yang kononnya lebih beriman. Istilah taghut dan murtad dilontar secara terbuka dan tak bertanggungjawab.

Pada Muktamar PAS 1982, generasi muda merendahkan Asri secara terbuka. Beliau diaibkan. Asri akhirnya meninggalkan PAS dan menubuhkan parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 24 Mac 1983.

Anak muda PAS yang menyelar Asri sebagai sekular ketika itu, kini sudah tersingkir daripada Pas dan menubuhkan Parti Amanah Negara. Dulu mereka menyelar, kini diselar oleh PAS sendiri.

Begitulah acuannya apabila selar-menyelar dijadikan agenda parti hingga boleh menimbulkan kesan keselamatan dan akidah. Kejadian Memali pada 1985 dan peristiwa Lubuk Merbau adalah fenomena yang memang sudah dirancang. Kejadian itu bukan kes politik. Ia kes pemikiran dan krisis minda dalam masyarakat Melayu.

Politik hanya alat untuk menghalalkan cara. PAS dan Umno juga alat untuk berkuasa dan kekuasaan. Yang berlaku sebenarnya krisis minda dan sikap mendorong manusia bersikap ganas dan rakus.

Cabaran krisis keyakinan

Hari ini masyarakat Melayu sedang berdepan krisis keyakinan yang amat mencabar. Fahaman politik bukan lagi sesuatu yang boleh diharapkan. Umno dengan krisis kepemimpinan. Isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi polemik. PAS pula terbeban dengan imej memperalatkan agama.

Melayu pula terkesan dengan Maharaja Lawak Mega yang entah berapa episod. Janggut, jubah, kopiah bukan citra Melayu. Ia hanya topeng golongan jumud. Ketika harapan Wawasan 2020 kian menghampiri kegagalan, kita bersandiwara dengan Transformasi Nasional 2050.

Bukan tradisi Melayu untuk berdebat. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz ada jawapannya. Seperti juga lebai yang guna siku dan lutut.


IMLAN ADABI bekas wartawan dan kolumnis Berita Harian. Beliau juga penulis sajak, cerpen dan panel penerbitan. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan bukan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS