Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK mahu monopoli TM disemak semula
Diterbitkan:  Mar 26, 2017 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tan Kar Hing berkata, sudah sampai masanya bagi hak monopoli Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai penyediaan rangkaian telefon talian darat dan hampir semua perkhidmatan perhubungan pengguna akhir di negara ini disemak semula.

"Langkah besar itu, jika dilakukan, mungkin dapat mewujudkan persaingan sihat di kalangan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang akhirnya memberi lebih pilihan dan manfaat kepada pengguna.

"Saya berpendapat kerajaan perlu menyemak semula struktur industri internet Malaysia bagi memastikan perkhidmatan dapat dipertingkat dan harga perkhidmatan diturunkan," katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menyatakan caj langganan internet di Malaysia adalah 5 hingga 10 kali ganda mahal berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

"Caj-caj di negara lain pula adalah seperti berikut dengan Filipina RM73 (3Mbps tanpa had) Singapura RM95 (15Mbps tanpa had) Thailand RM80 (12Mbps tanpa had) Korea Selatan RM64 (100 Mbps tanpa had) berbanding di Malaysia sebanyak RM199 (had kepada 10Mbps).


"Kedudukan Malaysia di tangga ke-74 dunia dari segi purata kelajuan Internet seperti didedahkan kaji selidik Akamai Technologies Inc pada 2016 tahun lalu membuktikan struktur perkhidmatan industri internet Malaysia perlu rombakan segera.


"Saya mengingatkan kerajaan agar mempunyai kemahuan politik yang kuat dalam menyelesaikan semua masalah berkaitan perkhidmatan telekomunikasi yang dihadapi pengguna," jelas beliau.

Pada masa yang sama, Tan, Putrajaya perlu menjalankan tanggungjawab melindungi hak-hak pengguna di negara ini.

"Undang-undang bagi mengharamkan caj tersembunyi oleh syarikat Telco sehingga merugikan pengguna harus diperketatkan.

"Selain itu, kerajaan juga perlu lebih tegas menjalankan penguatkuasaan terhadap firma telekomunikasi termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti TM atau mana-mana syarikat yang mempunyai kepentingan untuk kerajaan.

"Malah tribunal pengguna dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga seharusnya aktif turun padang menyiasat isu-isu syarikat telco dan tidak hanya sekadar menunggu aduan pengguna," ujar beliau lagi.

Lihat Komen
ADS