Pengganas letup kota London, 37 terbunuh, 700 cedera
Empat letupan bom di tiga stesen keretapi bawah tanah dan dalam sebuah bas di kota London semalam telah mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang, dengan 700 lagi mengalami kecederaan.
Empat letupan bom di tiga stesen keretapi bawah tanah dan dalam sebuah bas di kota London semalam telah mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang, dengan 700 lagi mengalami kecederaan.
Siri letupan yang dipercayai dirancang itu, berlaku dalam tempoh 56 minit.
8:51 pagi (0751 GMT): letupan berlaku antara Liverpool Street dan stesen bawah tanah Aldgate, yang membunuh tujuh orang.
8:56 pagi(0756 GMT): letupan bawah tanah berlaku dekat stesen King Cross station, membunuh 21 orang.
9:17 pagi(0817 GMT): letupan berlaku di stesen bawah tanah Edgware Road. Tujuh orang terbunuh.
9:47 pagi (0847): Satu letupan mengakibatkan sebuah bas dua tingkat dari Hackney menunju ke Marble Arch, yang membawa 30 penumpang, terbelah dua. Dua orang terbunuh.
Setiausaha Luar British, Jack Straw berkata kumpulan pengganas Al-Qaeda, pimpinan Osama bin Laden, dipercayai melakukan pengeboman tersebut.
Perdana Menteri England, Tony Blair berkata ia perbuatan pengganas dan menyifatkan satu perbuatan tidak berperi kemanusian.
Blair meninggalkan persidangan G8 di Gleneagles, Scotland, dan pulang ke London. Dalam ucapannya, Blair berkata letupan itu adalah perbuatan pengganas.
Manakala sepucuk surat yang disiarkan dalam lamanweb yang sering digunakan oleh al-Qaeda, mendakwa pertubuhan itu bertanggungjawab melakukan pengeboman di kota London itu.
Pertubuhan tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai Al-Qaeda Jihad di Eropah mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan bom tersebut. Ia juga memberi amaran kepada Denmark dan Itali dan negara-negara lain supaya mengundurkan tentera mereka dari Iraq.
Sehingga lewat malam ini, sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dan 700 lagi cedera.
Letupan itu berlaku di empat stesen bawah tanah dan dalam sebuah bas. Seorang pemanggil ke BBC Five berkata rakannya melihat "sebuah bas yang berkecai seperti tin sardin dan mayat bergelimpangan."
Akhbar Guardian edisi talian memetik para saksi sebagai berkata mereka ternampak 'mayat bergelimpangan tanpa tangan dan tanpa kaki".
Manakala laporan menyebut ramai tercedera dalam letupan laluan keretapi bawah tanah, tetapi mereka tidak menyebut secara khusus sama ada yang terkorban dalam kejadian tersebut.
Laporan BBC juga melaporkan, agensi berita PAS memetik pegawai kesatuan sebagai berkata sumber-sumber memberitahu mereka, terdapat sekurang-kurangnya satu alat letupan di landasan keretapi bawah tanah, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia perbuatan pengganas,
Bagaimanapun, Polis Pengangkutan Britain berkata letupan tersebut berpunca daripada luapan tenaga eletrik.
Sementara itu, Scotland Yard berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai "banyak letupan' berlaku Edgware Road, King's Cross, Liverpool Street, Russell Square, Aldgate East dan Moorgate.
Scotland Yard juga mengesahkan berlakunya letupan di atas sebuah bas di Tavistock Place, dekat Russell Square.
Mengikut Reuter, orang ramai berlari keluar daripada stesen bawah tanah London dengan berlumuran darah selepas letupan tersebut, yang berlaku sewaktu sejurus sebelum jam 9 pagi (5 petang waktu Malaysia).
Menurutnya, berikutan letupan tersebut, semua sistem dan jalan-jalan utama telah ditutup.
Sementara itu, akhbar Times melaporkan, letupan tersebut dipercayai seperti dirancang dan mempunyai ciri-ciri rangkaian pengganas al-Qaeda.
Letupan itu juga mengingatkan kejadian serangan yang sama ke atas Madrid pada bulan Mac 2003 yang dilakukan oleh kumpulan Osama bin Laden.
Rakyat Malaysia selamat
Sementara itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London berkata sehingga ini tiada laporan rakyat Malaysia cedera dalam kejadian tersebut.
Pegawai pesuruhjaya itu menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal di London supaya tinggal di rumah masing-masing dan tidak keluar kecuali ada keperluan untuk berbuat demikian.
Menurutnya, terdapat 10,000-12,000 rakyat Malaysia yang tinggal di London, termasuk 4,000-5,000 pelajar.
Katanya, pihaknya akan terus mengikut perkembangan lanjut dan ahli keluarga di Malaysia boleh menghubungi pejabat pesuruhjaya Malaysia di talian 44-20- 7919 0260 or 44-20-7919 0261 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

