Terjemahan Kempen pencabar jawatan presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng di Sabah berdepan dengan masalah berikutan laporan bahawa ketua-ketua bahagian MCA di negeri itu telah menerima tekanan supaya jangan menemui bekas menteri kesihatan itu.

Chua tiba di Sabah pada 5 Julai lalu untuk mengadakan kempen selama tiga hari. Sabah menjadi tempat pertama kempen Chua selepas beliau mengumumkan keputusannya bertanding jawatan presiden MCA Jumaat lalu. Beliau akan menentang penyandangnya, Datuk Ong Ka Ting.

Seorang pembantu kanan Chua memberitahu malaysiakini, beliau menerima banyak aduan bahawa ketua-ketua bahagian menerima tekanan supaya jangan menemui Chua. Difahamkan arahan tersebut dibuat oleh Pengerusi MCA Sabah, Edward Khoo.

Pembantu Chua itu mendakwa, ketua-ketua MCA bahagian diugut akan dikenakan tindakan disiplin jika mereka meneruskan rancangan untuk mengadakan pertemuan dengan bekas menteri kesihatan itu.

Berikutan itu, tujuh atau lapan ketua bahagian telah membatalkan pertemuan mereka Chua. Bagaimanapun, Chua sempat menemui 15 ketua bahagian MCA di Sabah. Negeri itu mempunyai 25 bahagian yang akan menghantar 114 perwakilan ke mesyuarat agung MCA bulan depan.

Menurutnya, sebahagian pemimpin berkenaan mendakwa mereka telah diperdaya supaya menyatakan sokongan terbuka kepada penyandang jawatan presiden sekarang.

"Sesetengahnya berkata, mereka hanya dimaklumkan supaya menghadiri mesyuarat MCA negeri yang lalu, dengan tujuan utamanya untuk mengisytihar sokongan kepada Khoo bertanding jawatan ahli jawatankuasa (AJK) pusat. Hanya ketika mesyuarat itu diadakan, barulah mereka diberitahu supaya mengisytiharkan sokongan kepada Ong," katanya.

Dua ketua bahagian Chau Tet On (Kota Kinabalu) dan Charlie Chang (Tawau) yang berminat bertanding jawatan AJK pusat, serta tiga lagi ketua bahagian, tidak menghadiri mesyuarat tersebut.

Bebas untuk berkempen

Sehari selepas Chua mengumumkan keputusannya bertanding jawatan presiden, MCA Sabah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor and Kelantan telah menyatakan secara terbuka sokongan mereka kepada Ong.

Chau bersama tiga lagi ketua bahagian dan kira-kira 50 ahli MCA, telah menyambut ketibaan Chua di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Chau dilaporkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Cina, sebagai berkata semua calon yang bertanding jawatan parti, mesti diberi layanan dan peluang saksama untuk berkempen.

"Kempen sewaktu pemilihan parti adalah dibenarkan. Jadi apa salahnya jika calon-calon mahu bertemu denan ketua bahagian dan para perwakilan?"

Bagaimanapun, Khoo menafikan tuduhan telah memperdaya ketua-ketua bahagian dan mengarahkan mereka jangan menemui Chua.

"Ini dunia bebas, mereka boleh berkata apa sahaja yang mereka mahu. Saya tidak boleh melayan dan menjawab semua kenyataan yang dibuat terhadap saya," katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai penyataan sokongan terbuka kepada Ong, pembantu Chua itu mendedahkan, ramai pemimpin akar umbi yang tidak senang dengan budaya seperti itu kerana ia memaksa orang melakukannya dan mengungut mereka jika enggan berbuat demikian.

Mengenai manifesto kempen Chua yang diumumkan di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, ianya mengandungi banyak 'kejutan'.

Mengenai dakwaan yang Chua akan beregu dengan Setiausaha Agung MCA, Datuk Ting Chew Peh yang dikatakan mahu bertanding jawatan timbalan presiden, beliau berkata: "Datuk Chua telahpun menyatakan, apakah anda mahu menolak mereka yang mahu membantu anda?"