Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengasas Valet Doa, Hasrin Harin yang menjalankan perkhidmatan membacakan doa di Mekah telah mengingkari arahan mufti agar perniagaan itu dihentikan, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, meskipun tiada fatwa dikeluarkan, tindakan mengingkari arahan mufti boleh diambil terhadap individu terbabit.

Susulan itu, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau akaun Facebook pengasas Valet Doa berkenaan.

"JAKIM juga sokong sebarang tidakan yang diambil SKMM dalam basmi aktiviti yang jejas kesucian agama Islam,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Valet doa’ kerana membuat perniagaan berasaskan doa di tanah suci Mekah.

Berdasarkan status di akaun Facebook, perkhidmatan itu boleh didapati dengan harga sekitar RM250 sehingga RM5,000, mengikut pakej-pakej yang telah ditawarkan.

Antara pakej tersebut adalah pakej King Salman dan pakej VVIP, malah pengirim boleh memilih mana-mana tempat di tanah suci agar doa mereka dibacakan.

Bagaimanapun perniagaan tersebut menerima kecaman banyak pihak termasuk Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad supaya ia dihentikan.

Namun, Hasrin tetap mahu meneruskan perkhidmatannya dengan alasan tiada fatwa khusus yang menyatakan menjadi kesalahan membuat perniagaan seperti itu.

Sementara itu Jamil turut berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan mufti Selangor telah memanggil Hasrin dan menasihatinya supaya memberhentikan perkhidmatan valet doa.

Katanya lagi, kerajaan turut memberi peringatan kepada seluruh umat Islam di negara ini supaya berwaspada dengan individu atau pihak yang menawarkan khidmat valet doa di kota suci Mekah dengan harga tertentu, termasuk harga diskaun

“Kerajaan juga sarankan umat Islam beri maklumat kepada JAKIM dan jabatan agama Islam negeri jika timbul keraguan dari isu seperti ini demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan umat islam di negara ini,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS