Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecap pakatan pembangkang Barisan Alternatif sebagai "Barisan Tiruan" yang tiada bermatlamat, tanpa kerjasama dan hanya bertujuan untuk mengabuai mata rakyat saja.
Beliau berkata kerjasama pakatan pembangkang itu hanya meniru konsep kerjasama yang diamalkan Barisan Nasional (BN) sejak bertahun-tahun.
Sambil menuduh Pas tidak jujur, beliau berkata Pas hanya ingin memperalatkan Parti Keadilan Nasional dan DAP, dengan membentuk BA, tetapi atas dasar perjuangan yang berbeza.
"Saya berasa amat sedih dengan parti Keadilan ini. Dunia memikir bahawa parti inilah yang akan mengganti Umno. Ini adalah angan-angan...mimpi di siang hari," kata Mahathir.
"Apa yang sebenarnya berlaku ialah DAP dan PAS cuba guna Keadilan untuk dapat sokongan pihak tertentu bagi parti mereka dan hari ini kita dapat lihat bagaimana berjayanya PAS memperalatkan parti Keadilan ini," katanya.
Mahathir, yang juga Pengerusi BN, berucap pada perasmian Konvensyen BN berjudul "BN Tunggak Keutuhan Negara" di Pusat Dagangan Dunia Putra , Kuala Lumpur.
Lebih 3,000 pemimpin dan anggota perwakilan 13 parti komponen BN dari seluruh negara menghadiri konvensyen ini.
Beliau bangga konsep kerjasama parti komponen BN adalah yang dianggap terbaik oleh dunia dan hasil kerjasama parti-parti komponennya telah membuat negara ini maju dan terkenal.
Oleh itu, katanya, Umno sebagai parti terbesar orang Melayu tidak akan tergugat dalam BN kerana ia adalah tonggak kejayaan BN.
Parti tunggal
Dalam ucapannya yang panjang itu, beliau memberitahu para perwakilan BN supaya menjalin satu kerjasama yang kukuh dan ikhlas antara parti-parti komponen dengan melaksanakan satu pendekatan baru ke arah matlamat membentuk sebuah parti politik tunggal untuk satu bangsa Malaysia.
Barisan Nasional kelak akan berubah menjadi satu parti tunggal yang tidak lagi memberi penekanan untuk memajukan kepada satu kaum tertentu saja, tambah beliau lagi.
Mahathir juga mengesa anggota parti komponen BN di semua peringkat untuk bekerjasama untuk mencapai matlamat itu.
Beliau berkata parti komponen BN mesti bersatu dalam menghapuskan perasaan curiga antara kaum dan setiap pemimpin BN perlu bekerjasama bagi meningkatkan ekonomi setiap kaum.
Beliau juga menegur pemuda hari ini yang sudah hilang budaya 'berterima kasih' dan sebaliknya mudah diperalat dan menjadi tali barut pihak asing sehingga mereka bertindak ganas dan menjadi buas.
Justeru itu, beliau mengingatkan setiap anggota BN memainkan peranan masing-masing bagi memastikan negara akan mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju kelak.
Mahathir juga akan melancarkan buku bertajuk 'Balancing Communal Rights' (Mengimbangkan Hak Antara Kaum) bagi menjelaskan dasar-dasar parti pemerintah itu.
Selain itu, Mahathir akan turut melancarkan video mengenai sejarah BN sejak pembentukannya pada tahun 1974.
