MCA Kelantan hari ini menyuarakan sokongan padu mereka kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dan Timbalannya Datuk Chan Kong Choy untuk terus menerajui parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kelantan, Datuk Dr Fong Chan Onn berkata, MCA Kelantan tidak berganjak daripada keputusan yang dibuat April lalu untuk terus menyokong kepimpinan sedia ada walaupun ada pertandingan dua penjuru untuk jawatan presiden parti pada pemilihan Ogos ini.

Naib Presiden Datuk Chua Jui Meng akan bertanding jawatan berkenaan manakala timbalan, manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda MCA, Chan Tse Yuen bertanding merebut jawatan timbalan presiden.

Manakala Setiausaha Agung parti, Tan Sri Dr Tin Chew Peh yang dikatakan akan bertanding jawatan nombor dua parti itu, masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenainya.

"Kita yakin terhadap kedua-dua pemimpin ini (Ong dan Chan) dan mereka telah buktikan mampu memikul tanggungjawab masing-masing. Ini jelas dapat dilihat sepanjang dua tahun ini di mana banyak aktiviti parti dijalankan dengan jayanya.

Tiada perpecahan

"Kita telah lama memutuskan untuk menyokong mereka dan tidak akan berganjak daripada keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kem motivasi anjuran MCA Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, ketika mengulas keputusan Chua untuk bertanding jawatan presiden, Fong berkata beliau yakin ia tidak akan mewujudkan kumpulan berbeza dalam parti seperti yang berlaku sebelum ini.

"Tidak. Ia tidak akan menimbulkan perpecahan atau mewujudkan kumpulan dalam parti. Pertandingan menunjukkan MCA parti yang mengamalkan demokrasi. Lagipun, pemilihan dilakukan mengikut peraturan," katanya.

Selain itu, katanya beliau yakin perwakilan akan membuat pemilihan yang tepat kerana mereka adalah orang lama dalam parti dan tahu semangat dan peranan parti.

"Walau apa pun, siapa yang mereka pilih akan membayangkan aspirasi mereka. Saya yakin perwakilan tahu apa yang mereka mahu dan dapat membuat pemilihan yang tepat," katanya.