Menteri: Ayah Pin tidak takut kerana tahu hukumannya ringan
Ayah Pin tidak takut dikenakan tindakan undang-undang kerana dia tahu hukumannya tidak berat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin.
Ayah Pin tidak takut dikenakan tindakan undang-undang kerana dia tahu hukumannya tidak berat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin.
"Kita ada peruntukan undang-undang yang cukup untuk mendakwa Ayah Pin. Masalahnya hukuman di bawah undang-undang yang ada itu tidak berat dan beliau mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk membayar denda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pameran dan pemilihan rekabentuk astaka majlis tilawah al-Quran di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Abdullah berkata, memang telah ada cubaan oleh kerajaan Terengganu untuk meruntuhkan simbol-simbol di perkampungan yang dipanggil "Kerajaan Langit" di Besut, termasuk replika kendi raksasa dan perigi yang kononnya mengandungi air zamzam.
"Selain perjalanan undang-undang yang sangat lambat, Ayah Pin juga sanggup menggunakan ramai peguam untuk membelanya kerana keupayaannya untuk membayar," katanya.
Beliau juga berkata, Ayah Pin mudah mendapat pengikut kerana segelintir umat Islam di negara ini jahil dalam ilmu agama atau terpesong jauh dan berusaha untuk kembali ke pangkal jalan.
Lelaki biasa
"Sebenarnya, Ayah Pin sendiri hanya seorang lelaki biasa, tidak ada apa yang hebat tentangnya tetapi beliau pandai mempengaruhi pengikut," katanya.
Menurut laporan Bernama, Dr Abdullah berkata kebanyakan mereka yang terjebak dengan ajaran Ayah Pin itu menghadapi pelbagai masalah hidup dan cuba mencari ketenangan.
Katanya beliau pernah menemui seorang lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia yang sanggup tinggal di perkampungan "kerajaan langit" itu untuk mencari ketenangan yang kononnya tidak pernah dinikmatinya sebelum itu.
"Memanglah mereka akan berjumpa ketenangan kerana kawasan kampung Ayah Pin di Batu 13 Besut tu terpencil, berbeza sangat dengan Kuala Lumpur. Saya sendiri dah pergi ke sana, memang tenang kerana persekitaran aslinya," katanya.
Beliau mengulangi bahawa kerajaan belum bercadang mengenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Ayah Pin kerana dia belum sampai ke tahap membahayakan keselamatan negara.

