Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis kita dengan Pyongyang berakhir
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 8:30 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Krisis diplomatik Putrajaya - Pyongyang berakhir. Ia diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.

Menurut beliau, pesawat udara membawa sembilan rakyat Malaysia sudah meninggalkan ruang udara Korea Utara.

Mengumumkan perkara itu perdana menteri berkata kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang sebelum ini masih berada di Korea Utara dibawa keluar menaiki penerbangan khas sebentar tadi.

"Alhamdulillah, mereka berlepas dari Pyongyang hari ini pada jam 7.45 petang waktu Malayia dan akan mendarat di Kuala Lumpur kira-kira jam 5 pagi esok," katanya.

Ekoran perkembangan itu, Najib berkata, kerajaan juga akan membenarkan semua warga Korea Utara meninggalkan negara ini.

Sebagai tambahan, katanya, kerajaan juga akan menyerahkan mayat Kim Jong-nam kepada Korea Utara.

"Ekoran selesainya bedah siasat (Jong-nam) dan surat permohonan daripada keluarganya yang meminta mayat berkenaan dipulangkan ke Korea Utara, koroner meluluskan pelepasan mayat berkenaan," katanya.

Hubungan antara kedua-dua negara menjadi tegang apabila Jong-nam yang juga abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, 46, mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 pada 13 Februari lalu.

 

 

Dua wanita - masing-masing pemegang pasport Indonesia dan Veitnam - sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh Jong-nam.

Siri tindakan sewajarnya oleh polis mencetuskan rasa tidak puas hati Pyongyang, malah dutanya di sini akhirnya diusir kerana selepas gagal hadir bertemu pegawai kanan Wisma Putra selepas diarahkan berbuat demikian pada 4 Mac lalu.

Pada 7 Mac pula, Pyongyang mengeluarkan larangan ke atas rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara meninggalkan negara berkenaan. Putrajaya bertindak balas dengan mengepung kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Perdana menteri mendakwa Pyongyang menjadikan rakyat Malaysia sebagai tebusan dan mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara pada hari sama.

Berita mengenai kepulangan rakyat Malaysia dari Korea Utara itu turut dikongsi Najib melalui Twitter.

Sementara itu perdana menteri berkata, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan kedaulatan.

"Siasatan polis kita terhadap jenayah serius di Malaysia akan diteruskan.

"Saya sudah mengarahkan supaya segala langkah yang wajar harus diambil bagi membolehkan pihak yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan (Jong-nam) dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Lihat Komen
ADS