Tolak lanjutan Sosma dan selamatkan reputasi negara
Sebuah kumpulan hak asasi manusia antarabangsa menggesa Parlimen menolak cadangan kerajaan untuk melanjutkan tahanan selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).
Timbalan Pengarah, Human Rights Watch Asia, Phil Robertson berkata, penggunaan Sosma telah mencemarkan nama baik Malaysia di luar negara.
"Sejak 2012, pihak berkuasa Malaysia berulang kali menggunakan undang-undang kesalahan keselamatan itu untuk ... [menahan] aktivis yang lantang tanpa sebarang dakwaan.
"Parlimen harus menyedari kemudaratan peruntukan tahanan ini bukan sahaja ke atas rakyat Malaysia tetapi juga reputasi Malaysia di luar negara, dan perlu menolaknya sebelum ia lebih memudaratkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu ini, kerajaan membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan peruntukan tahanan 28 hari Sosma sehingga lima tahun, bermula 31 Julai, 2017.
Robertson berkata walaupun Sosma menyatakan seseorang itu tidak boleh ditangkap "semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya", takrif "aktiviti politik" adalah sempit, dan meninggalkan ruang untuk pihak berkuasa menangkap atau menahan mereka yang terbabit dengan aktiviti politik secara aman.
Beliau memberi contoh kes Sosma digunakan ke atas pengkritik kerajaan seperti bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 18 September 2015 kerana mendesak siasatan ke atas skandal 1MDB, dan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah pada 18 November, 2016 atas dakwaan menerima dana daripada dermawan George Soros.
"(Setakat ini) dia tidak dituduh dengan sebarang jenayah," kata Robertson.

