Mengelakkan kemungkinan berlakunya ancaman tidak boleh menjadi sebab untuk menghalang debat antara menteri kabinet Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng.

Lim, yang juga seorang peguam berkata, tugas utama pihak polis adalah memburu mereka yang melanggar undang-undang, bukan 'melarikan diri' dari suspek.

"Kita tidak haramkan (bekas presiden Amerika Syarikat, Barack) Obama atau kerabat diraja dan kenamaan asing lain daripada melawat Malaysia hanya kerana terdapat kemungkinan ancaman terhadap mereka. Pihak polis mengendalikan situasi seperti itu dengan mudah.

"Jika polis kini memutuskan sebaliknya, mungkin kita perlu membatalkan semua perlawanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia kerana ada kemungkinan peminat melakukan tindakan sukar dikawal," kata Lim dalam kenyataan, hari ini.

Lim berkata, 18 laporan polis yang dibuat ke atas debat berkenaan asan, yang polis katakan sebagai antara sebab untuk membatalkan acara itu, seharusnya membawa kepada tangkapan bagi memastikan keselamatan.

"Bagaimanapun, jika laporan berdasarkan maklumat palsu, pengadu mesti disiasat kerana membuat laporan palsu," kata Lim.

Beliau berkata, debat mengenai hal ehwal semasa harus dibenarkan bagi memperkukuh kebertanggung jawaban kerajaan dan polis bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dalam acara sedemikian.

[Baca berita penuh]