Batal debat - Khalid jawab pengkritik
Polis sekadar menjalankan kuasa budi bicaranya apabila membatalkan kebenaran kepada majlis debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz, kata ketua polis negara.
Menurut Tan Sri Khalid Abu Bakar, keputusan itu dibuat selepas polis mengambil kira pelbagai aspek dan bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman awam.
Katanya, tindakan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada polis mengikut Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 dan ia digubal selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Khalid, Seksyen 20 (3) akta sama juga memberikan polis kuasa budi bicara untuk menjalankan tugas itu demi kepentingan orang ramai.
"Justeru, dakwaan polis menyalahgunakan kuasa kerana melarang cadangan debat itu adalah tidak munasabah kerana tindakan sama telah memudahkan banyak perbahasan lain sebelum ini," katanya dalam kenyaan media hari ini.
Khalid mengulas kritikan sesetengah pihak ke atas polis selepas pihak berkuasa membatalkan kebenaran kepada Kumpulan Media Karangkraf menganjurkan perbahasan antara bekas perdana menteri dan menteri pelancongan dan kebudayaan itu.
Debat berkenaan sepatutnya diadakan di Shah Alam pada Jumaat ini.
Cadangan mempertemukan kedua-dua tokoh lantang berkenaan mula dirancang selepas Dr Mahathir mencabar bekas menterinya itu berdebat pada 6 Mac lalu.
Nazri yang ketika itu berada di luar negara segera memberikan persetujuan tanpa syarat. Beliau kemudian menyatakan debat mengenai pelbagai isu - termasuk skandal 1MDB dagangan tukaran wang asing dan Bumiputra Malaysian Finance (BMF) akan diadakan di Maktab Rendah Sains MARA di Kuala Kangsar.
Tarikh yang dipilih ialah 25 Mac, namun polis tidak mengeluarkan kebenaran untuk majlis berkenaan.
Karangkraf kemudian menawarkan diri menjadi penganjur dan program itu dijadual diadakan di Shah Alam.
Bagaimanapun polis Shah Alam membatalkan kebenaran mereka - yang sehari sebelum itu dikeluarkan melalui sepucuk surat - selepas mengambil kira aspek keselamatan.

