KDN: Hanya dua kes kematian tahanan disebabkan oleh polis
PARLIMEN l Hanya dua daripada 284 kes kematian dalam tahanan dalam tempoh 16 tahun lepas adalah disebabkan oleh kecederaan yang dikenakan oleh pihak polis, kata kerajaan.
Ini adalah berdasarkan statistik yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat M Kulasegaran.
Kulasegaran menyoal mengenai jumlah kematian dalam penjagaan polis sejak tahun 2000 dan adakah mana-mana pegawai polis dikenakan tindakan tatatertib akibat kematian itu.
Menurut data yang disediakan, daripada 284 kes kematian dalam tahanan antara tahun 2000 dan 2016, 117 adalah orang Melayu, 63 berbangsa India, 53 Cina, sembilan daripada kaum-kaum lain dan 36 warga asing.
Sepanjang tempoh sama, hanya dua kematian dalam tahanan adalah disebabkan dicederakan oleh polis yang disengajakan dan berlaku pada tahun 2009 dan 2013.
Punca lain kematian adalah HIV (36), asma (tujuh), serangan jantung (23), penyakit lain seperti hati, jantung, ulser, paru-paru, tekak (166), pendarahan otak (16), gantung diri (32) dan bergaduh sesama tahanan (dua).
Dari segi tindakan, Zahid berkata daripada 284 kes, terdapat tujuh pendakwaan.
Kes yang didakwa, terdapat dua sabitan, dua pembebasan, satu pelepasan tanpa dibebaskan, manakala dua lagi kes masih belum selesai.
Status kes selebihnya adalah seperti berikut: inkues yang masih dijalankan (11), selesai inkues (92), tiada inkues oleh majistret (110), rujuk kepada timbalan pendakwa raya (26), dalam siasatan (22) dan tiada tindakan lanjut (satu) .
Berdasarkan statistik jabatan penjara, Zahid berkata seramai 131 banduan cedera antara 2010 dan Februari 2017.
"Kecederaan yang dialami disebabkan kecuaian sendiri semasa bekerja atau terjatuh," katanya.
Katanya, semua kes telah dirujuk kepada doktor di hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan seperti mana yang ditetapkan oleh standard operating procedure (SOP) jabatan penjara.

