Iklan tidak senonoh di radio dan TV swasta
Belum pun reda isu adegan panas yang disiarkan Astro, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Donald Lim berkata, kerajaan juga tidak berpuashati dengan beberapa iklan "tidak senonoh" yang disiarkan oleh radio dan televisyen swasta.
Belum pun reda isu adegan panas yang disiarkan Astro, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Donald Lim berkata, kerajaan juga tidak berpuashati dengan beberapa iklan "tidak senonoh" yang disiarkan oleh radio dan televisyen swasta.
"Kita (kementerian) bukan sahaja memantau program-program yang didapati tidak sesuai dengan budaya masyarakat majmuk negara ini, tetapi kebelakangan ini, terdapat juga iklan yang tidak sesuai.
"Kita bimbang (program dan iklan seperti itu), kita tidak boleh benarkan, kena kawal...tidak lama lagi kita akan ada MiTV dan kita akan mempunyai lebih 100 rangkaian TV swasta di negara ini," katanya.
Lim berkata, banyak aduan diterima mengenai iklan seperti itu dan yang terbaru ialah mengenai sebuah iklan radio yang mengambarkan seorang wanita memandu kereta di tengah bandar raya sambil ditutup matanya.
"Apakan imej yang hendak dipaparkan oleh iklan itu kepada masyarakat?...kereta yang dipandu wanita itu melanggar kereta lain hingga rosak, mesej apa yang diterima oleh kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Persatuan Penjaja-penjaja Taiping malam tadi.
Adegan panas
Menurut laporan Bernama, Lim sebelum itu berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Rais Yatim bahawa kerajaan tidak berpuas hati terhadap program yang disiarkan Astro kerana ada adegan panas yang bercanggah dengan budaya Timur.
"Saya sangat bersetuju dengan Datuk Seri Rais, kita perlu mengawal keadaaan. Bagi radio dan televisyen kerajaan kita boleh kawal dan tidak siarkan iklan seperti itu...kita akan bangkitkan perkara ini kepada kementerian berkenaan (Tenaga, Air dan Komunikasi)," katanya.
Lim berkata, program-program dan iklan yang berunsur seks, ganas dan sensitif terhadap budaya, bangsa dan agama perlu dibendung.
Beliau berkata kementerian sentiasa memantau perkara itu dan pelbagai aduan daripada orang ramai diterima mengenainya dari masa ke semasa.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik ketika mengulas kenyataan Rais Jumaat lalu berkata, semua stesen televisyen perlu mematuhi garis panduan, tatacara dan piawaian Kod Kandungan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, semua stesen televisyen tempatan termasuk stesen televisyen satelit Astro mesti mematuhi kod itu dan kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan orang ramai boleh membuat aduan terus kepada SKMM jika ada adegan tidak sopan, lucah atau keterlaluan ditayangkan.

