Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, terpulanglah kepada Pemuda PAS jika ingin mengambil tindakan undang-undang sekiranya berpendapat kerajaan negeri campur tangan dalam urusan fatwa.

"Selaku mufti kerajaan negeri Pulau Pinang, suka saya nyatakan bahawa tiada fatwa yang telah diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diwartakan yang dibatalkan pewartaannya.

"Kesemuanya dalam proses untuk diwartakan bila didapati ketikanya yang sesuai. terpulanglah kepada Pemuda PAS jika ingin mengambil tindakan undang-undang sekiranya berpendapat kerajaan negeri campur tangan dalam urusan fatwa," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut dimuat naik di laman Facebook milik Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, seorang anggota Jawtaankuasa Fatwa Pulau Pinang berkata, memang wujud campur tangan kerajaan negeri dalam proses mengeluar dan mewartakan fatwa di negeri itu.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Datuk Md Salleh Ahmad, campur tangan didakwa itu bukanlah daripada ketua menteri sebaliknya exco agama Pulau Pinang.

Kata Md Salleh, campur tangan itu berlaku apabila Datuk Abdul Malik Kassim mengarahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah yang sudah diwartakan, dibincangkan semula agar ia selari dengan pendirian kerajaan negeri dengan arahan itu dikeluarkan pada 2010.

"Walau bagaimanapun, mesyuarat jawatankuasa fatwa pada 2010 tetap bertegas supaya fatwa kalimah Allah yang telah diwartakan, dikekalkan sebagai fatwa," katanya dalam kenyataan.

Isu campur tangan kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang menjadi panas selepas ketua pemuda PAS negeri itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden, membangkitkannya.

Kata Afnan, campur tangan itu juga menyebabkan khidmat mufti terdahulu, Datuk Hassan Ahmad, tidak disambung selepas 2014.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Abdul Malik dan juga Wan Salim.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, isu tersebut hanya merupakan persepsi dan interpretasi.

"Isu-isu begini tak perlu dibesar-besarkan sebab ia boleh diselesaikan secara perbincangan terus antara pihak-pihak yang terbabit.

"Lagipun hanya sedikit sahaja keputusan fatwa yang masih belum diwartakan dan yang masih dalam proses. Diharap semua pihak dapat bersabar supaya segala-galanya berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan," tambah beliau.