Sebahagian besar pakar hartanah dan persatuan pengguna bersetuju dengan saranan Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani agar generasi muda Malaysia menyewa daripada membeli rumah.

"Saya cadangkan kumpulan muda menyewa dan bukannya melalui tekanan yang tidak wajar untuk memiliki sebuah rumah," kata Profesor Poon Wai Ching kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, Johari mencadangkan rakyat negara ini supaya menukar cara pemikiran mereka berhubung pembelian rumah ketika muda dan menanggung hutang jangka panjang yang besar.

Dalam penjelasan panjang lebarnya berhubung cadangannya, beliau membidas budaya semasa anak muda yang apabila memasuki bidang pekerjaan, melibatkan diri untuk dua beban kewangan besar iaitu membeli kereta dan membeli rumah.

Poon bersependapat dengan kenyataan Johari bahawa rakyat perlu menyewa bagi tempoh masa lebih lama seperti amalan di negara-negara maju kerana penyelidikannya menjangkakan jurang antara harga rumah dan pendapatan akan terus melebar.

"Kemampuan membeli rumah menjadi isu membimbangkan bagi negara sejak 2012, peningkatan harga rumah melepasi peningkatan tahap pendapatan.

"Pada 2016, harga rumah meningkat sebanyak 17.6 peratus manakala pendapatan meningkat sebanyak 12.4 peratus," katanya.

Juruukur hartanah bertauliah, Ernest Cheong juga tidak menggalakkan golongan muda daripada membeli hartanah.

"Mereka tidak mampu membeli hartanah dengan duit sendiri dan perlu bergantung kepada ibu bapa untuk membuat bayaran pendahuluan.

"Ini menelan wang persaraan ibu bapa dan menjejaskan kewangan keluarga," katanya.

Setiausaha Agung, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong berkata cadangan Johari mempunyai merit.

[Baca berita penuh]