PM digesa umum kandungan surat Rafidah pada Dr M
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan isi kandungan surat penjelasan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu permit import (AP) dan isu-isu berkaitan yang lain.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan isi kandungan surat penjelasan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu permit import (AP) dan isu-isu berkaitan yang lain.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ini keran aia bukan surat peribadi tetapi penjelasan rasmi daripada kementerian berkenaan berhubung isu-isu tersebut.
"Ia perlu diumumkan atau dibentangkan di Parlimen kerana isu salahguna AP, kemasukan kereta asing pada harga rendah, perlindungan 20 tahun atas Proton, telah dibangkitkan di Parlimen di mana sehingga ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengelak isu tersebut serta gagal memberi jawapan yang memuaskan," tambahnya.
Rabu lalu, kabinet telah mengarahkan Rafidah supaya menghantar surat penjelasan kepada Dr Mahathir bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri tersebut.
Mahathir, yang juga Penasihat Proton telah mempersoalkan langkah memberi AP kepada beberapa syarikat tertentu sahaja dan juga kemasukan kereta asing pada harga yang amat rendah sehingga menjejaskan dayasaing kereta buatan tempatan.
Berjuta orang terbabit
Sementara itu, Lim berkata, dakwaan penyelewengan dalam pengeluaran AP dan isu-isu lain yang berkaitan dengan industri automatif negara turut menjejaskan 26 juta rakyat Malaysia, yang mempunyai hak untuk mengetahui kandungan surat Rafidah itu.
Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengumumkan penjelasan tersebut, selaras dengan ikrarnya untuk mempertahankan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan pentadbiran yang amanah.
Abdullah kini memangku jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana Rafidah sedang bercuti sejak Sabtu lalu.
Sebelum ini, Perdana Menteri menafikan khabar angin yang Rafidah dijangka dikenakan tindakan berikutan 'pertikaiannya' dengan Dr Mahathir itu.
Sudah selesai?
Sementara itu, Timbalan Presiden Keadilan, Dr Syed Husin Ali berkata, kerajaan tersilap apabila mengandaikan bahawa isu AP itu sudah selesai kerana surat penjelasan telah dihantar kepada Dr Mahathir.
"Ini nampak seperti percubaan untuk menutup isu yang sudahpun menjadi perbincangan awam. Abdullah dan Rafidah cuba untuk mengetepikan isu ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, kerajaan mesti mendedahkan butir-butir terperinci siapakah yang mendapat faedah daripada pemberian AP daripada kementerian Rafidah.
"Kita ada mendengar mereka yang mendapat faedah itu adalah ahli-ahli perniagaan yang rapat dengan menteri. Dalam hubungan ini, Rafidah mesti membuat penjelasan terbuka mengenai perkar aitu, dan juga kandungan surat tersebut," katanya.

