Pemaju projek Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) S.P. Setia Sdn Bhd telah diarah menghentikan kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat NKVE-Meru Link ekoran kejadian jejambat susur yang dalam pembinaan runtuh di km 3.2 lebuhraya itu tengah hari semalam.

Pemangku Menteri Kerjaraya, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat pembinaan itu juga diberi tempoh 24 jam untuk mengemukakan laporan teknikal mengenai kejadian itu kepada Kementerian.

Berdasarkan laporan awal yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan, katanya, kejadian itu berlaku apabila tiang penopang (pier) jejambat susur nombor dua ke arah Klang di projek persimpangan bertingkat itu runtuh dan ini menyebabkan galang beruas nombor 7,8,9 dan sepuluh jatuh ke atas lebuhraya itu.

"Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih disiasat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat antara Kementerian Kerjaraya dengan wakil daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan SP Setia Sdn Bhd. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Syed Jamal Syed

Jaafar.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan di kedua-dua laluan arah Klang dan Kuala Lumpur telah selesai dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, pihak PLUS memerlukan sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk kerja-kerja penurapan semula permukaan jalan di tempat kejadian khususnya di laluan arah Klang.

Ciri-ciri keselamatan

"Adalah dijangkakan laluan kedua-dua arah dibuka semula kepada lalulintas pada Khamis ini jika Jawatankuasa Teknikal Kementerian berpuas hati dengan tahap dan ciri-ciri keselamatan di tiang penopang jejambat susur nombor satu yang tidak terjejas dengan kejadian itu," katanya.

Menurut laporan Bernama, dalam kejadian pada jam 1.40 petang semalam, empat galang beruas pada jejambat susur nombor dua, yang dalam pembinaan, merentasi NKVE jatuh di pinggir lebuh raya itu manakala empat lagi di atas lebuh raya itu.

Kejadian itu juga menyebabkan 10 pekerja asing yang sedang melakukan kerja-kerja penyambungan bahagian jejambat itu sepanjang 10 meter turut terjatuh bersama runtuhan.

Pekerja-pekerja yang cedera itu, kesemuanya warga Bangladesh, dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dengan empat daripadanya parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Berikutan kejadian itu, laluan lebuh raya di kedua-dua arah antara plaza tol Bukit Raja serta Shah Alam ditutup serta merta kepada lalulintas.

Pengguna dari Bukit Raja dilencongkan ke Lebuh Raya Persekutuan melalui persimpangan Batu Tiga manakala dari Shah Alam dilencongkan ke lebuhraya sama melalui persimpangan TTDI NKVE.

Lebuhraya NKVE-Jalan Meru sepanjang 7.5 km itu dibiayai SP Setia melibatkan kos sebanyak RM150 juta.

Sementara itu wakil syarikat SP Setia yang menghadiri mesyuarat itu, Ng Han Seong memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan mengabaikan kebajikan kesemua pekerja yang cedera akibat kejadian itu.