Kes perogol bersiri yang meliwat seorang budak lelaki Kuwait di Kuala Lumpur bulan lalu, telah menjejaskan kedatangan pelancong dari Asia Barat setelah berita itu diberi liputan meluas di negara-negara Arab, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

"Ia memberi gambaran seolah-olah Malaysia tidak selamat, khususnya untuk kanak-kanak, dan kita terpaksa mengambil tindakan membetulkan tanggapan ini setelah perogol itu ditangkap dan dihukum," katanya kepada pemberita di pejabatnya.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 60 tahun dan sebatan 24 rotan terhadap Beh Soon Hock, 38, setelah dia mengaku bersalah meliwat kanak-kanak Kuwait berusia 10 tahun itu dan juga meliwat seorang wanita Ireland selain merogol seorang wanita Korea Selatan.

Beh, dari Plentong, Johor Baharu, melakukan kesemua kesalahan itu di Bukit Bintang yang terkenal sebagai satu kawasan tumpuan pelancong asing.

Ahmad Zahid tidak memberikan peratusan penurunan kedatangan pelancong dari Asia Barat akibat daripada dua faktor negatif berkenaan.

Menurut laporan Bernam, beliau berkata, jawatankuasa pengurusan krisis di Kementerian Pelancongan bertindak dengan memberikan penjelasan selepas laporan mengenai kejadian itu disiarkan dalam akhbar-akhbar di Asia Barat.

Kes ragut

Katanya tindakan pantas oleh jawatankuasa berkenaan telah berjaya mengembalikan keyakinan di pasaran pelancongan Asia Barat bahawa Malaysia adalah negara selamat dan kejadian itu hanyalah satu kes terpencil.

"Perkara serupa berlaku apabila media membesar-besarkan masalah kes ragut yang kemudiannya dipetik oleh akhbar asing bagi menunjukkan seolah-olah Malaysia tidak selamat," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata jawatankuasa pengurusan krisis itu telah menggunakan teknik serupa untuk meredakan kebimbangan di kalangan pelancong dan menjelaskan menerusi media bahawa hanya tempat-tempat tertentu sahaja yang menghadapi masalah itu dan ianya telah dapat dikawal dengan berkesan.

"Kita telah menjelaskan menerusi siaran akhbar bahawa keselamatan di Malaysia amat baik, dan bahawa kita telah memesang 30 kamera litar tertutup di tempat-tempat yang kerap berlaku kes ragut," katanya.

Mengenai satu perkara lain, beliau berkata Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia akan menganjurkan persidangan antarabangsa bertajuk "Komunikasi dan Pelancongan: Membina Masyarakat Dunia Yang Harmoni" selama tiga hari bermula 29 Nov ini di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur.

Ia dijangka dihadiri lebih 100 ahli akademik, pengamal industri pelancongan dan usahawan dari dalam dan luar negara untuk berbincang dan berkongsi pengalaman serta penemuan kajian yang berkaitan dengan isu-isu komunikasi dan pelancongan.