Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ: 23 kesalahan lalu lintas kena mata demerit
Diterbitkan:  Apr 6, 2017 6:30 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan 23 kesalahan lalu lintas dalam sistem mata demerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) secara berperingkat menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata sebagai permulaan, hanya kesalahan melibatkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah sahaja akan diberi mata demerit, berkuat kuasa 15 April ini.

Antara kesalahan yang akan dikenakan mata demerit adalah membawa lebih muatan, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal dan mengabaikan arahan polis atau JPJ, katanya.

"Mata demerit hanya akan diberikan kepada pemandu kenderaan dan bukan pemilik kenderaan," katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan mata demerit di Putrajaya hari ini.

Di bawah Awas, pemandu kenderaan akan dikenakan mata demerit apabila mereka didapati melakukan kesalahan lalu lintas dan mata diberikan berdasarkan jenis kesalahan yang disabitkan.

Awas mula beroperasi secara percubaan sejak 1 April lepas dan tiada mata demerit akan direkodkan sehingga 15 April apabila ia dimulakan dikuatkuasakan.

Nadzri berkata sebanyak 4,949 saman dikeluarkan menerusi 14 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara dari 1 April sehingga hari ini.

Memberikan contoh pelaksanaan mata demerit, beliau berkata pemandu yang membawa melebihi had ditetapkan, saman yang dikeluarkan bagi kesalahan yang direkodkan AES akan menunjukkan siapa pemandu ketika melakukan kesalahan itu.

"Individu yang membayar kompaun tersebut akan dikenakan mata demerit kerana mengakui kesalahan itu dan mata demerit akan dimasukkan di bawah namanya dan bukan pemilik kenderaan," katanya.

Nadzri berkata pemandu kenderaan persendirian yang melanggar isyarat lampu merah akan diberi empat mata demerit manakala pemandu kenderaan barangan dan bas pula, enam mata akan diberikan.

Bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan, pemandu kenderaan persendirian akan diberi empat mata (melebihi 40km sejam) manakala bagi pemandu kenderaan barangan dan bas pula ialah enam mata, katanya.

Beliau berkata pemegang lesen yang mengumpul 20 mata pertama akan diberi amaran manakala 20 mata kedua, lesen pemandu akan digantung selama enam hingga lapan bulan, 20 ketiga (gantung lapan hingga 10 bulan) 20 mata keempat (gantung 10 hingga 12 bulan).

"Apabila pemandu mengumpul sehingga 100 mata demerit, lesen akan dibatalkan,” katanya.

Bagi pemegang lesen memandu percubaan, Nadzri berkata lesen memandu akan dibatalkan sekiranya mengumpul 20 mata pertama.

Beliau berkata mana-mana pemandu yang lesen memandunya digantung atau dibatalkan perlu menyerahkan lesen memandu di mana-mana pejabat JPJ dan dilarang untuk memandu kenderaan.

"Sekiranya mereka memandu semasa lesen digantung atau batal, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM3,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun," katanya.

Nadzri berkata mana-mana pemegang lesen yang mengumpul sejumlah mata demerit tetapi belum mencapai 20 mata boleh memohon mengikuti kursus pemulihan dan sekiranya lulus kursus tersebut, sejumlah 50 peratus mata demerit yang terkumpul akan ditolak sebagai insentif.

"Pemberian insentif ini adalah hanya sekali dalam tempoh memegang suatu lesen memandu,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS