Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed secara peribadi berpendapat lapan individu, termasuk anak Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 sepatutnya dikenakan dakwaan lebih berat.

Ini, kata Nur Jazlan, adalah kerana mereka bertindak liar di kawasan larangan.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Faisal Tajuddin yang turut mengkritik siasatan polis.

"Apapun saya kesal dgn tindakan Faisal yangg menyoalkan tindakan polis kerana kesalahan itu telah dibuat rakyat tidak puashati dengan caj yg dikenakan, tetapi beliau janganlah salahkan polis kerana polis hanya jalankan tugas.

"Kalau ikut pendapat saya pertuduhan yang lebih berat harus dikenakan kerana mereka bertindak liar dan merbahaya di kawasan larangan seperti parlimen," katanya.

Walau bagaimanapun, timbalan menteri itu berkata pertuduhan adalah berdasarkan siasatan polis dan terpulang kepada polis mencadangkan pertuduhan.

Nur Jazlan disoal mengenai kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan beberapa peguam yang mengulas bahawa dakwaan terhadap lapan individu itu adalah tidak wajar dibuat di bawah Akta Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM100.

Pada 24 November tahun lalu, Khalid diserbu sekumpulan penyokong dari Pasir Salak, selepas berlaku pertikaman lidah dengan anggota parlimen kawasan itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di parlimen.

Ia berikutan tindakan Tajuddin yang juga ketua bahagian Umno Pasir Salak melabelkan anggota parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai 'Kok'.