Mahkamah Tinggi United Kingdom mengarahkan bos firma Laura Ashley, Tan Sri Khoo Kay Peng membayar £64 juta atau kira-kira RM353.87 juta kepada bekas isterinya, Pauline Chai.

Akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan Hakim Bodey memutuskan Chai layak menerima jumlah itu yang terdiri daripada wang tunai dan hartanah sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian pasangan itu.

Chai, bekas Ratu Cantik Malaysia pada tahun 1969, menuntut £100 juta atau RM1.2bilion daripada Khoo, 78 tahun.

Pasangan itu berkahwin pada 1970 dan selepas 42 tahun, memutuskan untuk bercerai pada tahun 2012. Mereka mempunyai lima anak.

Khoo, pengarah bukan eksekutif Laura Ashley, dilaporkan cuba menyelesaikan penceraian itu di mahkamah di Malaysia tetapi Chai mahu prosiding itu diadakan di UK kerana beliau tidak lagi bermastautin di negara ini sejak 1980 dan kini menetap di England.

Khoo ialah pengerusi syarikat pemegang pelaburan antarabangsa Malayan United Industries Bhd dan memiliki 44 peratus peruncit fesyen dan hiasan dari UK, Laura Ashley Holdings.

[Baca berita penuh]