Usul mengutuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya akan difailkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang akan berlangsung pada bulan Mei ini, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Lim berkata, langkah itu bertujuan membolehkan semua wakil rakyat peringkat negeri membuat pendirian mengenai tindakan Shabudin yang mendapat perhatian dunia apabila berkata mangsa boleh menikahi perogolnya.

Tambah beliau, kemarahan meluap-luap di kalangan kaum wanita dan usul tersebut berharap untuk mendapatkan keadilan kepada mangsa rogol.

"Kami melakukannya sebagai kerajaan negeri yang suka, hormat dan mahu melindungi wanita," kata Lim pada sidang media hari ini.

"Kami kesal kepimpinan tertinggi BN gagal untuk mengambil tindakan terhadap Shabudin," jelas Lim.

"Beliau tidak menghormati mangsa rogol dan lebih teruk dari itu, tidak serius mengenai jenayah rogol," tegas Lim.

Lim mahu Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang yang juga Ketua Wanita Umno pulau mutiara itu, Datuk Jahara Hamid membuat pendirian berhubung kenyataan Shabudin di dewan berkenaan.

"Sehingga kini, beliau tidak langsung mengutuknya, tetapi sebaliknya mempertahankannya dan Jahara seorang wanita," kata Lim secara berseloroh.

[Baca berita penuh]