'Tangguh pindaan Akta 164 jejas masa depan pasangan, anak'
Gerakan ternyata kecewa dengan keputusan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pembentangan Pindaan ke atas Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164.
Ketua Biro Perundangan dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, rang undang-undang itu dibentangkan tahun lepas dan disenaraikan dalam peraturan mesyuarat untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat yang lalu.
"Nasib pasangan suami isteri dan anak-anak yang terlibat dalam kes-kes penukaran agama kanak-kanak secara unilateral dan pertikaian hak penjagaan antara agama menjadi tidak menentu berikut rang undang-undang yang terkebelakang.
"Isu-isu yang lama wujud telah menjejaskan masyarakat kerana pertindihan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah perlu ditangani dengan segera dan berkesan untuk menjurus kepada pemulihan sosial.
"Kerajaan telah dan kini perlu meyakinkan mereka yang mencari keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi orang bukan Islam setelah hidup mereka terjejas akibat penukaran unilateral anak-anak," kata Baljit dalam kenyataan.
Penyelaras Gerakan bahagian Jelutong peringkat negeri itu menamakan salah satu daripada kes-kes yang paling menonjol melibatkan M Indira Gandhi yang sedang berjuang bagi mendapatkan hak penjagaan anak bongsunya.
Baljit merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, rang undang-undang itu perlu 'diperhalusi' untuk memastikan ia tidak menjadi polemik dan menjejaskan keamanan negara.

