Hentikan pembangunan di 'Alcatraz' Malaysia, kata peserta forum
Forum awam dengan tajuk #SavingJerejak yang berlangsung semalam berakhir dengan cadangan untuk mengemukakan lapan syor kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.
Para peserta forum tersebut mahu kerajaan negeri melindungi pulau itu yang acap kali digelar Alcatraz Malaysia.
Ia susulan dakwaan rancangan untuk membangunkan semula kawasan seluas 80 ekar dalam pulau itu dengan membina 1,200 unit rumah kediaman, marina, hotel, taman tema dan trek berbasikal sepanjang 11.5km.
Seramai 150 peserta menggesa suatu moratorium ke atas pembangunan di pulau seluas 894 ekar itu yang terletak di luar pantai Bayan Lepas.
Kumpulan itu menggesa seluruh pulau itu diwartakan sebagai tapak warisan negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang.
Mereka juga memohon agar pulau itu disenaraikan sebagai tapak warisan negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan.
Dikepalai oleh Penang Forum yang merupakan gabungan 14 NGO, kumpulan itu mahu kerajaan negeri mengadakan dialog awam dan mendapatkan maklum balas mengenai rancangan pembangunan di pulau itu.
"Laksanakan pelan induk bebas bagi Pulau Jerejak dengan mengambil kira nilai-nilai lanskap sosio, budaya dan sejarah," kata seorang peserta.
"Wartakan pulau Jerejak sebagai taman negeri, buat kajian penuh dan dokumentasi biodiversiti semula Pulau Jerejak," kata seorang lagi peserta.

