Walaupun permohonan mendapatkan kad pengenalan pintar bermutu tinggi MyKad naik mendadak sejak kebelakangan ini, Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) tetap akan menyiapkan MyKad dalam tempoh sebulan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Samsudin Osman.

"Kita cuba kekalkan sebulan untuk tepati piagam pelanggan, walaupun ada yang lari sedikit (melebihi sebulan)," katanya kepada pemberita semasa melawat pejabat JPN di Shah Alam hari ini.

Samsudin berkata, kerajaan bersedia menambah peralatan memproses MyKad untuk menepati sasaran itu.

JPN kini mengendalikan purata 25,000 pemohonan MyKad sehari berbanding 10,000 sebelum ini.

Peningkatan itu adalah berikutan pengumuman kerajaan bahawa warganegara Malaysia boleh memohon MyKad secara percuma sehingga 31 Disember tahun ini manakala permohonan selepas tempoh itu akan dikenakan bayaran.

Mohon di JPN negeri

Menurut laporan Bernama , Samsudin berkata masalah utama yang dihadapi oleh JPN adalah urusan melayan pelanggan.

Beliau berkata, kunjungannya ke JPN di Shah Alam hari ini adalah untuk meninjau perjalanan urusan pelanggan yang sebelum ini berhadapan dengan masalah kehabisan nombor giliran pelanggan.

Untuk mengatasi masalah itu, kata beliau, JPN di Shah Alam kini tidak lagi mengehadkan jumlah nombor giliran sehari dan pelanggan yang tiba selepas jam 3 petang diberi pilihan sama ada untuk berurusan pada hari yang sama atau keesokannya.

Samsudin berkata, pelanggan terutama kakitangan awam juga boleh menggunakan peluang cuti hari Sabtu untuk berurusan di semua ibu pejabat negeri JPN yang dibuka pada setiap Sabtu kecuali pada hari cuti umum.

Katanya setakat ini perkhidmatan pada hari Sabtu itu kurang mendapat sambutan kerana orang ramai masih tidak mengetahuinya.