Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada usul khusus mengenai rasuah politik, Lembaga Disiplin dan kaedah pemilihan ahli Majlis Tertinggi akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Umno minggu depan.

Bagaimanapun terpulang kepada para perwakilan untuk menyentuh perkara-perkara tertentu di peringkat perbahasan, katanya.

"Usul-usul yang akan dibentangkan ialah yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT)," kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau memberitahu pemberita demikian ketika ditanya mengenai agenda perhimpunan agung itu yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 Julai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno berkata pada prinsipnya, tiga usul akan dibentangkan iaitu ucapan presiden, ekonomi serta agama dan pendidikan.

Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan esok bersama pelbagai saranan yang dibangkitkan oleh jawatankuasa kecil (mengenai perlembagaan parti) di bawah Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.