Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Serangan di Syria beri kesan pada harga minyak
Diterbitkan:  Apr 10, 2017 3:52 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah pangkalan udara Syria baru-baru ini mungkin akan memberi kesan terhadap harga minyak dunia, kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan dilaporkan berkata ia sekali gus boleh memberi kesan terhadap Malaysia.

"Penetapan harga minyak di Malaysia adalah berdasarkan harga bahan api dunia, justeru sekiranya harga minyak di peringkat dunia meningkat, sudah pasti harga petrol dan diesel di Malaysia akan turut naik.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenainya (harga minyak).

“Kerajaan telah pun melaksanakan kaedah pengapungan terkawal secara mingguan bagi penetapan harga minyak bagi menggantikan kaedah sebelumnya iaitu secara bulanan," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2016 dan Pelancaran Buku

Kod Etika dan Tatakelakuan Warga Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Tentera Amerika, Jumaat lalu, melancarkan serangan peluru berpandu atas pangkalan udara Syria sebagai tindak balas kepada serangan kimia di kawasan pemberontak.

Kira-kira 50 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan dari kapal perang tentera laut AS di Laut Mediterranean.

Susulan serangan itu, harga minyak mentah dilapor meningkat 1.3 peratus kepada AS$55.60 pada hari yang sama.

Rafizi Ramli, pemimpin pembangkang yang sering memantau turun-naik harga minyak, menjangkakan kenaikan antara 10sen hingga 20sen seliter, bergantung kepada reaksi pasaran dunia.

Kementerian sebelum ini mengumumkan harga runcit mingguan bagi petrol RON95 naik tiga sen kepada RM2.16 seliter, RON97 naik dua sen kepada RM2.43 seliter manakala diesel turun tiga sen kepada RM2.08 seliter berkuat kuasa 6 hingga 12 April ini.

Lihat Komen
ADS