ISA: ahli MPPK cadang temui Menteri Dalam Negeri
Pemimpin-pemimpin pelajar bercadang mengadakan satu pertemuan di peringkat pemimpin tertinggi mereka dengan Menteri Dalam Negeri berhubung penangkapan dua aktivis pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) minggu lalu.
"Sebagai pemimpin mahasiswa, kami perlu penjelasan yang terperinci sebab-sebab mereka ditangkap. Jika benar mereka melakukan kesalahan, diharap mereka diadili di mahkamah terbuka," kata Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Ahmad Fadzli Yusof kepada malaysiakini .
Seorang aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ditangkap Khamis lalu dan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan pada hari berikutnya. Malaysiakini difahamkan beberapa aktivis pelajar lagi sedang dicari polis untuk ditahan di bawah akta yang sama.
Kerajaan setakat ini belum menjelaskan sebab sebenar penahanan mereka berdua di bawah seksyen 73 (1) akta itu selain alasan "mengancam keselamatan negara."
Ahmad Fadzli, yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) berkata, pertemuan itu sangat sesuai kerana menteri berkenaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut mempengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
MPPK adalah jawatankuasa nasional yang ditubuhkan kerajaan dan dianggotai oleh empat pemimpin pelajar daripada setiap universiti awam dan swasta.
Presiden Perwakilan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) Mahadi Sukarno berharap pertemuan wakil-wakil pelajar dalam MPPK dengan Abdullah nanti dapat menghasilkan kesan positif.
"Kami amat berharap dua pelajar yang ditahan itu dibebaskan segera, dan Abdullah sebagai pengerusi MPPK dapat berusaha ke arah itu," katanya, yang juga Setiausaha BBMN.
Mohamad Fuad, kini ditahan, adalah Timbalan Pengerusi BBMN - sebuah gabungan yang ditubuhkan secara tidak rasmi oleh pemimpin-pemimpin yang dilantik ke majlis perwakilan pelajar di institusi pengajian tinggi. Dalam pertemuan MPPK April lalu, Abdullah, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sebarang pandangan anggota majlis itu boleh disampaikan kepada kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan pejabatnya sendiri.
Menurut Mahadi, wakil-wakil pelajar dalam MPPK telah cuba menghubungi Abdullah tetapi gagal kerana difahamkan menteri itu kini berada di luar negara.
"Penahanan dua pelajar di bawah Akta ISA itu mewujudkan perasaan takut di kalangan mahasiswa," katanya, dan menambah penahanan pelajar di bawah akta itu tidak sepatutnya berlaku.
'Tidak boleh terlalu berharap'
"Selain itu, kami di peringkat mahasiswa berasa martabat kami direndahkan dan dipandang hina - seolah-olah kami golongan yang antikerajaan dan begitu propembangkang."
Sementara Setiausaha Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) Lim Kai Loon pula mengalu-alukan pertemuan antara pemimpin pelajar dengan Menteri Dalam Negeri. Bagaimanapun, tambahnya, pertemuan itu mungkin tidak akan memberi banyak kesan positif.
"Ia merupakan satu usaha diplomasi yang baik, tapi mahasiswa tidak boleh terlalu berharap dengan hasil pertemuan itu," katanya. Timbalan pengerusi BBMN sendiri kini sedang ditahan, tambah Lim.
"Pertemuan itu nanti bersifat luahan perasaan dan pendapat, tetapi hasilnya mungkin tidak begitu memberangsangkan," katanya.
Sementara itu di Jordan, lebih 200 penuntut Malaysia menurunkan tandatangan sebagai menyokong satu memorandum bagi membantah penggunaan ISA terhadap dua aktivis pelajar itu.
Menurut maklumat yang dihantar kepada malaysiakini hari ini, memorandum itu dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Amnesty International di London.
Satu salinannya diserahkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Amman.
Sementara itu, parti-parti pembangkang meneruskan kecaman terhadap tindakan terbaru kerajaan itu.
Presiden PAS Datuk Fadzil Noor menyifatkan penahanan dua pelajar itu satu bentuk "perasaan dendam dan marah" Umno terhadap sikap golongan pelajar yang menolak "perjuangan kosong" parti itu.
"PAS (juga) melihat tindakan ini sebagai satu ugutan umum kepada rakyat yang cuba menghalang aspirasi kosong Umno, lalu mereka ingin mewujudkan budaya takut di kalangan rakyat dengan harapan mereka akan terus berkuasa," katanya.
Tambahnya tindakan parti itu akan merugikan mereka sendiri sama ada untuk jangka pendek atau panjang.
Sementara itu, Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional hari ini menyifatkan tangkapan ISA itu langkah untuk melenyapkan suara pelajar yang berani menyuarakan pandangan terhadap pemerintah.
Fuziah Salleh berkata, tindakan itu menunjukkan pihak berkuasa kurang senang melihat aktivisme pelajar yang mengkritik ketidakadilan kerajaan.

