Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kolaj, buku kartun rosak: Zunar dapat RM18,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintah supaya kartunis politik Zunar dibayar RM18,000 sebagai ganti rugi ke atas kerosakan lukisan kolaj aslinya yang dirampas bersama-sama 66 naskhah kumpulan komik bertajuk Cartoon-O-Phobia, tujuh tahun lalu.

Penghakiman persetujuan kedua-dua pihak dirakamkan di hadapan Timbalan Pendaftar, K Pavani. Turut hadir ialah peguam Zunar, Latheefa Koya dan peguam persekutuan Safiyyah Omar yang mewakili defendan.

Zunar menamakan kerajaan, dua anggota polis yang merampas buku-buku kartun dan karya seninya, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Kementerian Dalam Negeri sebagai defendan dalam samannya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, kartunis, yang nama sebenarnya Zulkiflee Anuar Ul Haque, berkata bahawa keputusan hari ini bukan mengenai kuantum atau jumlah ganti rugi.

"Tetapi (ia) adalah satu pengajaran kepada polis dan kerajaan bahawa menggunakan undang-undang jenayah secara wewenang adalah tidak dapat diterima dan berniat jahat.

"Ini adalah satu pencabulan hak kartunis. Kami mempunyai hak, juga," katanya.

Naskhah komik dan lukisan yang menggambarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor itu, dirampas pada 24 September 2010 selepas polis menyerbu pejabatnya dan menahannya atas tuduhan menghasut.

Pada 22 Julai 2012 lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis memulangkan lukisan dan buku-buku tersebut kepada Zunar dan Mahkamah Rayuan pada November 2014 mengekalkan keputusan itu.

Bagaimanapun, lukisan tersebut telah rosak teruk apabila beliau menerimanya.

Mengulas lanjut, Zunar berkata untuk menahan lukisan tersebut dalam lokap polis selama lima tahun dan merosakkannya adalah merupakan kesalahan yang lebih besar.

"Ia adalah satu bentuk intimidasi dan kejahilan dalam menghormati kerja seni," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS