Seorang penganggur didenda RM1,800 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi kesalahan menumbuk dan mencekik ibunya, minggu lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap M.
Alangendara, 28, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk beberapa kali di muka dan mencekik leher ibunya, K. Peramala, 51.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di PPR Desa Rejang, Setapak, di Kuala Lumpur, pada 9 malam, 3 April lepas dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung isteri dan tiga anak. -Bernama