Panel Rayuan Umno sudah selesai mendengar empat daripada sembilan rayuan yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno berhubung politik wang dalam pemilihan parti tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Zuki Kamaluddin berkata, salah satu daripada sembilan rayuan tersebut adalah yang dikemukakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad.

Bagaimanapun, Zuki enggan menyatakan sama ada rayuan Isa adalah antara empat rayuan yang telah selesai didengar oleh Penal Rayuan Umno.

Beliau juga enggan mendedahkan identiti ahli Umno terbabit kerana menurutnya, keputusan tersebut akan diumumkan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Kami akan menyerahkan keputusan rayuan tersebut Majlis Tertinggi (MT) untuk tindakan lanjut. Biarlah MT yang mengumumkan perkara tersebut.

"MT mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima keputusan Panel Rayuan Umno itu," katanya selepas mempengerusikan panel rayuan di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Ketepikan hukuman

Bulan lalu, Lembaga Disiplin Umno mengumumkan Isa digantung keahlian selama dua penggal atau enam tahun serta digantung jawatan naib presiden, selepas didapati bersalah terbabit dengan politik wang ketika bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan lalu.

Selasa lalu, Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, menghantar surat rayuan kepada Panel Rayuan Umno untuk mengetepikan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, Zuki mengesahkan pihaknya menerima rayuan daripada sembilan ahli Umno yang didapati bersalah melanggar tata etika parti dalam pemilihan tahun lalu.

"Salah seorang daripada yang mengemukakan rayuan kepada Panel Rayuan Umno ialah Tan Sri Isa. Lapan identiti yang lain saya tidak boleh dedahkan," katanya.

Kes mereka akan didengar oleh Panel Rayuan Umno yang dianggotai oleh Zuki sendiri, bekas Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Kesenian, Tan Sri Sabaruddin Chik; bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Osman Arof dan bekas ahli MT, Datuk Alias Ali.

Menurutnya, beliau juga tidak boleh menyebut apa yang dirayu oleh perayu terbabit kerana bidang kuasanya hanyalah mendengar rayuan.

Zuki juga enggan menjawab berapa lama kes rayuan akan selesai tetapi menjelaskan ia dibuat satu demi satu bagi memberi keadilan kepada perayu.

Beliau berkata, semua kes tersebut dibincang dengan teliti dan ia mungkin mengambil masa sedikit untuk diselesaikan.