Umno Kedah berdiri teguh di belakang Syed Razak
Kesemua 310,000 ahli Umno di Kedah berdiri teguh di belakang pengerusinya Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang sedang sembuh daripada serangan darah tinggi dan dilaporkan akan bercuti lagi untuk tempoh tentu, kata Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan Umno Kedah, Ariffin Man.
Kesemua 310,000 ahli Umno di Kedah berdiri teguh di belakang pengerusinya Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang sedang sembuh daripada serangan darah tinggi dan dilaporkan akan bercuti lagi untuk tempoh tentu, kata Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan Umno Kedah, Ariffin Man.
Katanya, semasa Syed Razak sakit itu, 1,932 cawangan dan 15 bahagian di negeri telah mengadakan mesyuarat masing-masing dengan lancar dan tidak ada sebarang masalah.
"Dalam mesyuarat cawangan dan bahagian itu juga, tidak ada sebarang usul meminta Datuk Seri Syed Razak berhenti, tetapi yang ada beberapa cawangan dan bahagian menyatakan mereka sayangkan beliau, dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya," tambahnya.
Menurut Ariffin, mereka memberi sokongan tersebut sebagai menyatakan penghargaan mereka terhadap Menteri Besar Kedah itu yang telah membawa kemenangan cemerlang dalam pilihanraya lalu,.
Sebelum ini, Syed Razak telah mengambil cuti lima minggu. Beliau telah memohon dan diberi pengecualian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada menghadiri perhimpunan agung parti di Kuala Lumpur minggu depan atas sebab-sebab kesihatan.
Berikutan itu, Ahad lalu, beliau telah mengumumkan akan bercuti untuk satu tempoh tertentu tetapi tarikh mula cuti itu tidak dinyatakan.
Ariffin berkata, semua ketua bahagian Umno dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional Kedah telah menyatakan sokongan terhadap beliau.
"Jadi saya berkeyakinan penuh soal kestabilan, kekuatan, keutuhan parti tidak perlu dirisaukan,"
katanya.
MB sampai amanat
Menurutnya, Setiausaha Umno Kedah, Datuk Abdul Rahman Ariffin akan bertanggungjawab terhadap pengurusan Umno semasa ketiadaan Syed Razak.
Ariffin berkata, semua program yang dirancang sebelum ini juga akan dilaksanakan seperti biasa, malahan, Syed Razak sendiri telah menyampaikan amanat kepada setiap ketua bahagian supaya menjaga keutuhan dan kekuatan parti.
"Sama ada beliau bercuti atau tidak, parti tidak terjejas langsung, perjalanan tetap seperti biasa dan beberapa aktiviti seperti pendaftaran ahli baru, daftar pemilih dan program 'Gah Kedah' juga berjalan seperti biasa," katanya semasa dihubungi Bernama untuk mengulas mengenai perjalanan Umno sepanjang Syed Razak bercuti nanti.
Ariffin berkata, selaku pegawai yang menjaga aspek pentadbiran Umno Kedah, beliau juga akan membantu setiausaha Umno negeri dalam aspek pengurusan parti.
Katanya, sepanjang kesihatan Syed Razak terganggu sejak 7 April lalu, perjalanan parti lancar, yang dibuktikan menerusi mesyuarat cawangan yang berlangsung semasa Syed Razak dalam proses rawatan pemulihan akibat serangan darah tinggi.
Ketua Pemuda Umno Kedah Mohd Rawi Abdul Hamid berkata perjalanan parti tidak akan terjejas kerana Syed Razak telah berjaya menyatukan kembali ahli Umno dari peringkat akar umbi sehingga ke pimpinan tertinggi.
"Umno Kedah tidak seperti suatu ketika dahulu yang perpecahannya ketara, Umno Kedah sekarang bersatu padu dan ibaratkan sudah aman damai. Semua itu adalah atas usaha Datuk Seri Syed Razak yang bertungkus lumus selama dua penggal menguatkan parti. Dan sekarang parti telah kuat walaupun bercuti, beliau tidak perlu bimbang tentang perjalanan parti," katanya.
Ketua Puteri Umno Kedah Shahanim Mohd Yusof pula berkata segala aktiviti parti tetap berjalan seperti biasa.
"Tidak perlu dirisaukan, tidak akan timbul sebarang masalah tambahan pula kita tidak berada dalam situasi dekat dengan pilihan raya," katanya.
Beliau berkata Puteri Umno akan menjalankan aktiviti seperti biasa, malahan telah menyampaikan janji kepada Syed Razak sewaktu pertemuan baru-baru ini bahawa pergerakan itu akan bekerja keras bagi menambah ahli dan memperkuatkan parti.
"Kita berdoa moga beliau cepat pulih dan kembali bertugas memimpin negeri dan parti," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.