Karikatur monyet, IGP nasihati semua supaya sensitif
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan semua pihak termasuk media agar lebih sensitif terhadap perkara yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Khalid yang mengulas isu karikatur yang dikeluarkan akhbar Nanyang Siang Pau, turut menasihatkan agar tiada pihak yang mengeluarkan apa-apa bentuk penulisan atau lukisan yang menyentuh isu sensitif.
"Saya nasihatkan semua termasuk media, kita perlu sensitif. Negara kita negara berbilang kaum, berbilang agama.
"Janganlah timbulkan apa-apa bentuk penulisan, lukisan yang boleh timbulkan kegusaran masyarakat berbilang kaum, bangsa.
"Kita kena hati-hati benda macam ini. Tapi tak apa, biar kita jalankan siasatan," katanya yang turut memberitahu pihak polis menerima 20 laporan polis melibatkan isu karikatur berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Akhbar Nanyang Siang Pau pada 8 April lalu menyiarkan karikatur bertajuk 'Akta Monyet' yang memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabel sebagai 'speaker' manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai 'Hadi Awang' yang bertenggek di atas pokok 'Akta 355'.
"Hadi Awang" dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah "keledek panas", manakala "speaker" melompat dari pokok itu, sambil berkata: "Simpan untuk hari kemudian."
Karikatur itu juga menunjukkan sekumpulan monyet yang bertekak di bawah pokok berkenaan.
Susulan itu, kira-kira 100 ahli dan penyokong PAS berhimpun di luar perkarangan pejabat Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya, semalam.
Nanyang Siang Pau juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik balik karikatur itu.
Kartun berkenaan juga dipadamkan daripada siaran di versi internet.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri tetap memberi surat tunjuk sebab kepada akhbar itu dan mereka mempunyai tiga hari untuk menjawap surat berkenaan yang dikeluarkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

