Terjemahan Calon naib presiden MCA, Datuk Tan Chai Ho menafikan bahawa beliau mengganggotai 'Kumpulan Wawasan' yang dikaitkan dengan bekas presiden parti itu, Tun Dr Ling Liong Sik.

"Saya tidak pernah mendengarnya (Kumpulan Wawasan). Adakah ada ingat saya anggotanya?" tanya beliau kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Subang Jaya hari ini.

Bagaimanapun, apabila beliau terus-menerus diminta supaya memberi jawapan yang lebih jelas, Tan menafikan yang beliau terbabit dengan Kumpulan Wawasan.

Ditanya sama ada beliau pernah dipujuk untuk menyertai pakatan tersebut, Tan yang dianggap rakan karib Dr Ling, hanya menjawab: "Adalah perkara biasa, malah perlu, bagi calon-calon mengambil berat antara satu sama lain."

Katanya, walaupun ada sekalipun calon-calon yang mahu mewujudkan pakatan, mereka mesti mengutamakan kepentingan parti melebihi segala-galanya.

Perpaduan parti

"Kita tidak mahu pakatan ditubuhkan oleh individu-individu yang mahu menjejaskan perpaduan parti," katanya.

Bernama melaporkan semalam, selain Tan, anggota kumpulan 'Kumpulan Wawasan' adalah tiga lagi calon naib presiden Datuk Donald Lim Siang Chai, Datuk Chor Chee Heung and Datuk Chau Tet On.

Manakala menurut satu lagi laporan, Dr Ling didakwa berkempen membantu anak lelakinya dan Setiausaha Agung Datuk Ting Chew Peh bagi menghadapi pemilihan MCA pada 20 Ogos depan.

Bagaimanapun, Dr Ling menafikan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai 'satu laporan nakal'.

"Saya telah bersara dan hakikatkan tidak akan berubah," kata Dr Ling sebelum ini.

Perebutan jawatan naib presiden kini membabitkan pertandingan sembilan penjuru. Turut bertanding jawatan tersebut ialah Datuk Dr Fong Chan Onn, Dr Chua Soi Lek, Fu Ah Kiow, Ong Tee Keat dan Yap Pian Hon.

Ditanya sama ada beliau mampu memenangi jawatan tersebut, Tan berkata, adalah sukar baginya membuat penilaian sekarang kerana keputusan muktamad di tangan perwakilan.

"Saya hanya boleh meneruskan perkhidmatan secara dengan jujur. Saya harap, usaha dan keikhlasan saya itu akan dihargai para perwakilan," katanya.