Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Anak butir t**k juga boleh terpakai kepada PAS'
Diterbitkan:  Apr 12, 2017 12:23 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, PAS juga boleh dilabel sebagai 'anak butir t**k Umno' kerana lahir atas nama Persatuan Islam Se-Malaya semasa Persidangan Alim Ulamak Malaya anjuran Umno.

"(Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) harus sedar bahawa tohmahan tersebut juga boleh terpakai kepada partinya sendiri - PAS.

"PAS lahir pada tahun 1951 atas nama Persatuan Islam Se-Malaya semasa Persidangan Alim Ulamak Malaya yang dianjurkan oleh Umno.

"Pengerusi Jawatankuasa Penajanya Haji Ahmad Fuad Hassan merupakan individu yang pernah memegang jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat agama Umno.

"Sebaik sahaja PAS sah didaftarkan, beliau menjadi yang dipertua pertama parti itu," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, jika menggunakan logik sama, PAS boleh sahaja dilabel sebagai 'anak butir t**k Umno' jika DAP mahu berbuat demikian.

Semalam, dalam salah satu kecaman paling keras pernah dibuat kepada DAP, Presiden PAS, Abdul Hadi menganggap parti berkenaan sebagai "butir tahi" PAP Singapura.

Abdul Hadi berkata, Singapura adalah "bapa DAP" dan di negara berkenaan parti yang memerintah ialah PAP (Parti Tindakan Rakyat).

"Dulu (semasa) Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP.

"Jadi DAP ini anak butir t**k PAP. (Saya) sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia," kata Hadi pada  majlis ceramah perdana sempena kejayaan pembentangan rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355).

Mengulas lanjut, Sheikh Omar yang merupakan bekas pemimpin pemuda PAS Johor berkata, DAP tidak memilih untuk melabel pesaing politiknya dengan label-label sedemikian.

Jelasnya, ekonomi negara yang sedang tenat dengan rakyat semakin terhimpit memerlukan penyelesaian dengan mengangkat agenda reformasi dalam tadbir urus negara menerusi dasar-dasar membela rakyat.

"Bukan meletakkan label-label 'murahan' bertujuan menakut-nakutkan rakyat.

"Justeru, saya nasihatkan presiden PAS agar lebih berjiwa besar untuk tampil dihadapan rakyat dengan mengemukakan tawaran-tawaran polisi yang benar-benar menyentuh isu rakyat," ujarnya.

Tambahnya, meletakkan label tidak sepatutnya seperti 'anak butir t**k' itu dan ini tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Lihat Komen
ADS