Persimpangan bertingkat NKVE runtuh akibat kecuaian manusia
Siasatan awal menunjukkan galang beruas bagi pembinaan persimpangan bertingkat di KM 3.2 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) runtuh Ahad lalu akibat kecuaian manusia, kata Pemangku Menteri Kerjaraya Datuk Mohamed Khaled Nordin hari ini.
Siasatan awal menunjukkan galang beruas bagi pembinaan persimpangan bertingkat di KM 3.2 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) runtuh Ahad lalu akibat kecuaian manusia, kata Pemangku Menteri Kerjaraya Datuk Mohamed Khaled Nordin hari ini.
Siasatan awal pemaju projek tersebut, SP Setia Sdn Bhd, dan sebuah syarikat pakar perunding, mendapati pekerja di kawasan binaan itu telah mengalihkan besi penyokong tanpa kebenaran, katanya.
"Pengalihan besi penyokong terlalu awal dan tanpa arahan dilakukan oleh pekerja ketika penyelia pergi makan. Ada berlaku kecuaian manusia. Ada tindakan pekerja tanpa arahan," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat kabinet hari ini telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan menambah, siasatan awal menunjukkan runtuhan bukan disebabkan oleh kesilapan rekabentuk.
Kementerian Kerjaraya, katanya, masih menunggu laporan Jabatan Teknikal Jabatan Kerjaraya (JKR) yang menyiasat kes itu, meliputi aspek penggunaan bahan dan proses pelaksanaan projek pembinaan, sebelum mengambil tindakan lanjut, termasuk terhadap pekerja yang cuai itu, katanya.
Menurut laporan Bernama, Kementerian Kerjaraya sebelum ini telah mengarahkan kerja pembinaan persimpangan bertingkat berharga RM150 juta itu, dihentikan dua tiga bulan berikutan kejadian itu.
Keselamatan terjamin
Sepatutnya, kata Mohamed Khaled, hanya penyelia yang boleh memberikan arahan supaya besi penyokong itu dialihkan dan arahan tidak dikeluarkan lagi ketika itu kerana konkrit binaan belum kering disebabkan hujan malam sebelumnya.
Bagaimanapun, pekerja-pekerja telah mengalihkan bahagian R6 R7 dan L6 L7 secara manual dengan mengangkat besi-besi penyokong menyebabkan kedua-dua hujung persimpangan itu (yang belum bertemu) runtuh secara serentak.
Ditanya mengapa pekerja-pekerja itu berbuat demikian, Mohamed Khaled berkata: "Tidak tahu."
Beliau berkata, sebahagian laluan NKVE antara Bukit Raja dan Shah Alam melibatkan lorong yang menghala ke Klang, yang ditutup sejak Ahad lalu, ekoran kejadian itu, akan dibuka semula petang ini.
Ditanya mengapa laluan itu dibuka lebih awal daripada perancangan iaitu esok, beliau berkata: "Buka awal pasal tak ada apa-apa nak dibimbangkan. Keselamatan dijamin. Malah langkah berjaga-jaga bagi menjamin faktor keselamatan ditambah sebanyak 30 peratus lagi."
Beliau berkata. tambahan itu termasuk melibatkan penyediaan konkrit tambahan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.