Peguam tertuduh mengadu pembebasan 3 suspek Korea Utara
Peguam bagi kedua-dua tertuduh dalam perbicaraan kes pembunuhan Kim Jong-nam memberitahu Mahkamah Majistret Sepang hari ini bahawa mereka masih belum dibekalkan dengan dokumen-dokumen berkaitan dan rakaman CCTV untuk menyediakan pembelaan mereka.
Warga Indonesian Siti Aisyah dan warga Vietnam Dong Thi Huong menghadapi tuduhan bersama membunuh Jong-nam pada 1 Mac. Jong-nam adalah abang kepada pemerintah Korea Utara Kim Jong-un.
Peguam tertuduh juga mengadu mengenai pembebasan tiga suspek rakyat Korea Utara dan mereka tidak disediakan dengan kenyataan beramaran mereka.
Hakim Haris Sham Mohamed Yassin, yang bersidang sebagai majistret, mencatatkan aduan mereka dan menasihatkan pendakwa raya untuk membantu tetapi berkata beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat apa-apa perintah.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad berkata, dokumen yang berkaitan tidak lengkap dan meminta mahkamah memberi tarikh lagi bagi sebutan semula kes itu.
Haris Sham menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes itu. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan pihak pendakwaan dalam kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam berkata bukanlah menjadi kewajipan pendakwaan untuk memberi rakaman percakapan saksi tiga suspek warga Korea Utara yang telah kembali ke negara mereka kepada pihak pembelaan kerana ia bukan dokumen awam.
Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu Mahkamah Majistret di Sepang bahawa beliau tidak dapat memberikan percakapan saksi itu pada peringkat ini kepada kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam.
Pada 1 Mac, Siti Aisyah, dan Doan Thi Huong bersama-sama empat lagi yang masih bebas, didakwa membunuh mangsa berusia 45 tahun itu di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari lepas.
Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Muhamad Iskandar berkata pihak pendakwaan akan membekalkan percakapan saksi itu semasa perbicaraan kes itu.
"Pada peringkat ini, kami tidak boleh bekalkan," katanya menjawab permohonan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah dan Hisyam Teh Poh Teik serta Datuk Naran Singh yang mewakili Doan.
-
Berhubung permohonan pihak pembelaan untuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pelbagai tempat, Muhamad Iskandar berkata pihak pendakwaan hanya memberi tumpuan rakaman CCTV di tempat kejadian di klia2 dan akan merujuk perkara itu kepada pegawai penyiasat.
Beliau berkata pihak pendakwaan tidak tahu apakah permohonan pihak pembelaan kepada polis mengenai CCTV.
Bagi permohonan untuk mendapatkan semua dokumen, "kami masih belum melengkapkan semua dokumen, jadi bagaimana kami dapat membekalkan kepada mereka," kata Muhamad Iskandar.
"Saya tidak fikir mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung permohonan berkenaan dan semua pertikaian undang-undang ini boleh dibangkitkan di Mahkamah Tinggi memandangkan mahkamah ini hanya boleh memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," katanya.
Pihak pendakwaan bagaimanapun, telah menyerahkan rakaman percakapan saksi daripada kedua-dua tertuduh kepada pihak pembelaan hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret berkata beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan pihak pendakwaan tetapi beliau telah merekodkan semua permintaan dan aduan peguam dan menasihatkan pendakwaan agar membantu pihak pembelaan berhubung perkara itu.
Terdahulu, Gooi mengadu bahawa ketika anak guamnya ditahan polis, pihak pembelaan telah membuat beberapa percubaan mendapatkan kebenaran menemu bualnya tetapi permintaan beliau ditolak.
Katanya beliau hanya mendapat menemu bual Siti Aisyah selepas dia didakwa di mahkamah, untuk masa yang terhad, iaitu 45 minit bagi setiap lawatan.
Gooi juga berkata beliau telah menulis surat kepada pihak polis mengingatkan mereka apa yang diberitahu oleh Siti Aisyah sebaik selepas dia ditahan dan turut meminta kerjasama mereka untuk mendapatkan rakaman CCTV dari pelbagai tempat termasuk di tempat awam di mana CCTV itu dipasang.
"Permintaan kami kepada pihak polis termasuk membekalkan kami rakaman CCTV itu bagi membolehkan kami menyediakan pembelaan untuk peluang terawal. Kami juga meminta mereka untuk membekalkan kami rakaman percakapan saksi, anak guam kami," katanya.
Peguam itu juga berkata pihak polis telah merakamkan percakapan tiga warga Korea Utara berkenaan yang telah dibenar kembali ke negara mereka.
"Dalam keadaan ini, kami percaya mereka tidak akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan dan tidak akan dapat menjadi saksi pembelaan. Kami juga telah meminta pihak polis membekalkan kami salinan kenyataan mereka," katanya.
Peguam itu berkata pihak pembelaan masih lagi belum menerima jawapan polis atau pendakwaan dan kelewatan ini tidak boleh diterima kerana anak guamnya mempunyai hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.
Hisyam juga membuat aduan sama seperti Gooi, dan berkata tanpa rakaman percakapan ketiga-tiga warga Korea Utara itu, pihak pembelaan sukar untuk menyediakan perbicaraan kes berkenaan.
Sementara itu, Naran pula meminta pihak pendakwaan mendedahkan identiti keempat-empat tertuduh yang masih bebas pada sebutan kes tersebut bagi membolehkan mereka menyediakan pembelaan.
"Siapakah mereka ini? Kami mahu lihat hubungannya (anak guamnya) dengan keempat-empat tertuduh. Kertas pertuduhan mestilah jelas," katanya.
Pada prosiding hari ini pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dibacakan semula oleh jurubahasa dalam bahasa Indonesia dan Vietnam.
Kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang, hanya mengangguk kepala menandakan mereka memahami pertuduhan itu.
Wartawan tempatan dan asing dibenar memasuki ruang mahkamah kira-kira jam 9 pagi dan perlu menyerahkan semua peranti elektronik termasuk telefon bimbit.
Turut hadir pegawai kedutaan Indonesia dan Vietnam dan dua peguam dari Majlis Peguam Vietnam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 30 Mei selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka memerlukan tempoh sebulan setengah untuk melengkapkan semua dokumen berhubung kes tersebut.
.

